AKTA baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005, akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen Julai ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, rang undang-undang (RUU) itu sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Saya rasa dalam tempoh satu ke dua minggu ini dah selesai dan boleh saya bentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Teknologi,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran MyChampion peringkat kebangsaan di Sepang, Selangor hari ini.
Khairy pada 17 Februari lalu mengumumkan pengenalan akta itu bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama penyakit kanser dan menyumbang 22% kematian akibat kanser.
Terdahulu, semasa berucap Khairy berkata, pengenalan akta baharu berkait dengan rokok itu satu daripada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperhebat kempen berhenti merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya akan bawa satu undang-undang supaya ia menjadi kesalahan undang-undang untuk menjual rokok kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.
“Memang penguatkuasaan akan menjadi cabaran. Tiada apa yang dapat menghentikan dia untuk minta orang dewasa beli rokok untuk dia atau orang yang lahir sebelum 2005.
“Tapi saya rasa ini langkah pertama ke arah kita menamatkan rokok kepada satu generasi yang menjadi ‘generational end game’,” katanya.
Khairy turut meminta sukarelawan MyChampion untuk menegur orang awam yang merokok di kawasan larangan merokok.
“Saya punya penguat kuasa tidak cukup nak pergi ke setiap kedai makan nak bagi kompaun kepada yang masih degil, takkanlah kita nak buat operasi sampai bila-bila.
“Saya minta MyChampion jadilah juara untuk kita tegur secara baik-baik supaya orang awam tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, MyChampion adalah pasukan sukarelawan di lapangan dan bertindak sebagai ejen untuk membawa perubahan minda dan tingkah laku kesihatan kepada komuniti dan secara tidak langsung membantu Malaysia masuk ke fasa peralihan ke endemik.
Beliau berkata, pada tahun lalu, seramai 7,000 sukarelawan di bawah MyChampion dilantik dan kementerian menyasarkan untuk melantik 10,000 lagi sukarelawan tahun ini.
Khairy pada masa sama berkata, KKM akan melancarkan kempen saringan kesihatan secara besar-besaran membabitkan 1.5 juta penduduk pada Julai ini dan perincian berkaitan perkara itu akan diumum tidak lama lagi. – Bernama, 26 Mac, 2022.
Komen