Pembukaan sempadan: ATM sentiasa siap siaga


Panglima ATM Affendi Buang pihaknya sentiasa kekal bersedia mengukuhkan kawalan di sempadan negara sepanjang masa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2022.

KESIAPSIAGAAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila sempadan negara kembali dibuka pada 1 April ini, kata Panglima ATM Affendi Buang.

“ATM sentiasa kekal bersedia mengukuhkan kawalan di sempadan negara sepanjang masa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ekspo Usahawan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2022 di Cyberjaya hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan membuka semula sempadan negara mulai 1 April.

Affendi berkata pihaknya sedang menunggu perincian mengenai protokol pembukaan sempadan oleh Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein bagi membolehkan ATM melaksanakan gerak kerja berdasarkan protokol tersebut.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata 48.2% veteran ATM terlibat dalam perniagaan selepas tamat perkhidmatan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka. – Bernama, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen