DAP akan hilang lima kerusi daripada 42 kerusi Parlimen dipegangnya jika mereka tidak dapat menemui formula tepat untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi parti baharu dilantik itu berkata ia masih mempunyai masa utuk mengekalkan kesemua 42 kerusi tersebut jika bekerja keras, mengukuhkan kekuatan dan tidak bergaduh sesama sendiri serta bersatu melawan Barisan Nasional.
“Dengan mesej yang betul, kepimpinan dan kerjasama pasukan kita boleh menang lagi kerusi kita di Selangor dan kerajaan negeri lain yang dimenangi pada 2018,” kata Lim selepas merasmikan perkampungan politik DAP Selangor.
Tambahnya, mereka perlu belajar daripada keputusan pilihan raya di negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
“Jangan salahkan kadar keluar mengundi yang rendah tetapi tanya mengapa kita gagal menggerakkan penyokong kita untuk keluar mengundi?
“Kenal pasti kelemahan kita dalam berkomunikasi dengan rakyat dan keperluan untuk memberi tumpuan bukan sahaja satu isu tetapi juga menangani isu kos sara hidup yang penting untuk rakyat.”
Ahli Parlimen Bagan itu berkata penyokong mereka tidak mahu pembangkang tetapi sebuah parti yang meletakkan matlamat menjadi kerajaan bagi melaksanakan dasar yang boleh mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
“Ada pengajaran yang kita dapat dari Melaka dan Sarawak yang perlu kita depani untuk membolehkan kita bekerja melebihi jangkaan rakyat dan walaupun kadar keluar mengundi rendah di Johor dan DAP menang 10 daripada 14 kerusi ditandingi berbanding hanya lima yang dijangka.

“Bagaimanapun, kita masih belum mengatasi kadar keluar mengundi yang rendah yang membolehkan kita menang lebih banyak kerusi.
“Bukan hanya kita perlu melawan dakwaan tidak berasas perkauman dan pelampau dan pembohongan yang kita mengenakan cukai baharu ketika berkuasa, kita perlu membincangkan isu berpusatkan rakyat.”
Pada PRN Johor 12 Mac lalu, BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
BN mengalahkan Pakatan Harapan yang hanya menang 11 kerusi dengan PKR -yang menggunakan logo sendiri- hanya menang satu kerusi.
Lim berkata PH perlu berkongsi kejayaan mereka supaya setiap parti boleh menang lebih banyak kerusi.
“Tidak ada gun ajika DAP atau PKR menang kerusi menggunakan logo masing-masing jika kita tak boleh menang kuasa (pentadbiran) bersama-sama.
“Disebabkan itu, perlu ada logo bersama diterima oleh semua dan Pilihan Raya Johor membuktikan yang logo PH memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti pembangkang lain.” – 26 Mac, 2022.
Komen