RAFIZI Ramli malam ini akan melancarkan kempen Ayuh Malaysia untuk menarik sokongan pengundi atas pagar menuju Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan diadakan tahun ini.
Beliau yang baru tidak sampai dua minggu mengumumkan kembali aktif berpolitik akan menggerakkan kempen itu bersama beberapa pemimpin muda PKR termasuk bekas naib presiden Nurul Izzah Anwar.
“Platform Ayuh Malaysia ini bukan inisiatif khusus Keadilan (PKR) tetapi ia digerakkan oleh pimpinan muda Keadilan dengan harapan dapat menarik minat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat,” kata Rafizi dalam satu kenyataan malam tadi.
Kempen itu menetapkan empat matlamat antaranya memberi nafas baru kepada kempen PKR dan Pakatan Harapan khususnya kepada pengundi atas pagar di kerusi marginal.
Ia juga mahu mengajak sukarelawan pilihan raya “meneruskan momentum perubahan” dengan mendekati pengundi atas pagar.
Ayuh Malaysia juga berhasrat mahu “mempengaruhi diskusi dan kempen politik” yang berteraskan politik idea dan dasar, selain mengemukakan tokoh lebih muda dalam PKR untuk “menjuarai platform dasar yang berfokus kepada penyelesaian masalah”.
Selain Rafizi dan Nurul Izzah, majlis pelancaran Ayuh Malaysia malam ini akan menampilkan tiga ahli parlimen PKR iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Akmal Nasir (Johor Bahru), dan Chang Lih Kang (Tanjung Malim). Ia juga disertai bekas ahli parlimen Kapar G Manivannan dan Adun Semambu Lee Chean Chung.
“Kami akan membentangkan teras lima dasar yang wajar diberi perhatian oleh masyarakat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi orang ramai,” kata Rafizi.
Lima dasar itu menyentuh antaranya masalah peluang pekerjaan, kos sara hidup, dan perumahan.
“Kami berharap idea-idea yang bakal kami bentangkan melalui Ayuh Malaysia dapat menghidupkan kembali semangat orang ramai untuk terus berusaha membawa Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik,” tambahnya.
Pada 15 Mac, Rafizi mengumumkan kembali aktif dalam politik dan menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti bulan depan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 kerana ketika itu berhadapan sabitan kes berhubung pendedahannya mengenai dokumen bank melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Pada hujung 2019, Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas Rafizi, yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan.
Rafizi selepas itu mengumumkan berehat daripada politik. – 26 Mac, 2022.
Komen