Roger Ng tidak hadiri mesyuarat penting, mahkamah diberitahu


Pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng merupakan satu-satunya individu yang didakwa berhubung skandal 1MDB. – Gambar AFP, 25 Mac, 2022.

PEGAWAI bank Goldman Sachs Roger Ng tidak dijemput ke mesyuarat penting antara konspirator dalam skim untuk menipu 1MDB, juri diberitahu dalam perbicaraan AS yang dilaporkan oleh Bloomberg hari ini.

Sebagai contoh pengecualian Ng, peguamnya menunjukkan bahawa seorang lagi pegawai bank Goldman Tim Leissner, bertemu beberapa kali dengan ahli perniagaan yang didakwa dalang plot ini Low Taek Jho tanpa Ng.

“Tolong jangan beritahu Roger tentang pertemuan kami dengan rakan itu,” tulis Leissner dalam mesej BlackBerry kepada seorang lagi pegawai bank Goldman pada 2012 ketika Leissner, Low dan Ng semuanya berada di Hong Kong selepas salah satu daripada urus niaga bon 1MDB ditutup.

Tidak lama selepas itu, Low dan Leissner secara berasingan terbang ke Las Vegas untuk pesta ulang tahun gala, menurut seorang pembantu di firma guaman peguam bela Teny Geragos, Katelyn Giesler. Nama Ng tiada dalam senarai tetamu, kata Giesler.

Ng juga tidak berada di atas kapal layar di Mediterranean yang disewa oleh Low pada Julai 2013 apabila ahli perniagaan itu menghadiahkan isteri Najib, Rosmah Mansor, kalung berlian merah jambu 22 karat yang dibeli dengan dana 1MDB, kata Giesler ketika memberi keterangan.

Ng juga tidak menyertai Leissner dan Najib untuk makan malam di San Tropez beberapa hari kemudian, katanya.

Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB. Beliau didakwa berkomplot dengan bekas ketuanya Leissner dan Low untuk merompak berbilion dolar daripada syarikat pelaburan Malaysia itu.

Leissner yang merupakan saksi pendakwaan berkata beliau mengutip lebih AS$60 juta (RM250 juta) juta daripada Low dan membayar Ng lebih AS$35.1 juta.

Pihak pendakwaan menangguhkan kesnya semalam. Perbicaraan disambung semula pada Isnin. – 25 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen