Usah leka ketika fasa peralihan endemik, kata pakar


Angie Tan

Orang dewasa yang bekerja boleh menjadi ancaman terbesar kepada kesejahteraan keluarga dengan banyak SOP Covid-19 bakal ditarik menjelang fasa peralihan endemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2022.

TERUSKAN pakai pelitup muka, suntik vaksin serta dos penggalak, dan paling penting jangan leka ketika fasa peralihan ke endemik, kata pakar kesihatan.

“Kita masih belum betul-betul bebas daripada Omicron Covid-19. Dan kita cuma akan berada dalam fasa peralihan,” kata mereka mengingatkan rakyat apabila negara mula beralih ke fasa itu mulai 1 April.

“Ingat, ini hanya fasa peralihan,” kata mereka, sambil menekankan yang individu lengkap divaksin sebenarnya boleh mengundang bahaya buat ahli keluarga yang masih terdedah kepada Covid-19.

Mereka adalah adalah individu yang tidak layak untuk vaksinasi atau yang mempunyai imuniti sangat rendah untuk elak serangan berikutan masalah kesihatan kronik yang dialami.

Kanak-kanak di bawah lima tahun masih tidak layak untuk vaksinasi dan majoriti kematian Covid-19 yang dilaporkan adalah individu yang mempunyai komorbiditi.

Dr Chee Hui Yee, pakar virologi dan profesor di fakulti perubatan dan sains kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), memberitahu The Malaysian Insight dengan banyak prosedur operasi standard (SOP) bakal ditarik, orang dewasa yang bekerja boleh menjadi ancaman terbesar kepada kesejahteraan keluarga mereka.

“Tidak mengapa untuk makan di luar, pergi berpesta dan melakukan perkara lain tetapi mereka perlu ingat siapa yang ada di rumah.

“Adakah mereka ada saudara tua yang menghidap penyakit kronik atau kanak-kanak yang masih belum divaksin di rumah mereka yang boleh terdedah kepada virus?”

Chee berkata sesetengah orang mungkin melakukan ujian kendiri Covid-19 untuk melihat sama ada mereka terkena jangkitan virus atau tidak.

Kit ujian RTK-Antigen yang boleh dibeli di kebanyakan pasar raya tidak begitu sensitif seperti yang difikirkan kebanyakan orang, katanya.

“Jika anda dijangkiti dan ujian kit memberi anda bacaan negatif, itu kerana tahap virus dalam badan anda masih belum cukup tinggi.”

Chee berkata kit RTK hanya boleh mengesan virus apabila badan mengandungi 95% virus.

Ia katanya, mengundang bahaya dalam mana-mana keluarga.

“Orang ramai bersikap sambil lewa apabila dapat tahu mereka negatif virus. Apabila mereka pulang ke rumah, mereka mula tularkan virus kerana mereka biasanya tidak memakai pelitup muka di rumah.”

Chee berkata untuk benar-benar yakin dengan keputusan itu, mereka harus mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

Pada 1 Mac, Kementerian Kesihatan mengumumkan individu yang telah divaksin sepenuhnya, dan tanpa gejala, tidak perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama lima hari jika mereka menjadi kontak rapat.

Chee juga berkata negara mungkin menyaksikan beberapa peningkatan kes baharu dalam beberapa bulan akan datang apabila sekolah dibuka semula dan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir. – 25 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen