Ahli Parlimen cadang penambahbaikan proses kiraan undi di Dewan Rakyat 


BEBERAPA  ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan agar penambahbaikan kepada sistem pengiraan undi belah bahagian dilakukan bagi memastikan segala keputusan yang dicapai adalah sahih dan muktamad.

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata reformasi cara mengundi itu perlu diperbaiki memandangkan kaedah manual masih digunakan sekarang. 

“Kita dengar contohnya ada Ahli Parlimen yang tidak hadir, tapi hampir ditandakan ada, kecuali ada pemerhati,” katanya sebelum perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 bersambung pada sesi petang persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu turut disokong Su Keong Siong (PH-Kampar) yang mahukan jaminan agar setiap keputusan undi belah bahagian diumum tidak akan berubah lagi. 

Sementara itu, Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) pula mencadangkan agar pengesahan pemerhati turut dimasukkan dalam borang keputusan akhir pengundian, agar tidak lagi berlaku kesilapan sedemikian.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat  Azhar Azizan Harun berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat 100, beliau meminda jumlah undi belah bahagian dalam usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 semalam.

Ia melibatkan pindaan kepada 85 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 84 semalam, dan jumlah tidak hadir dipinda dari 50 kepada 49, dengan pengekalan kepada jumlah tidak bersetuju adalah 86.

Jelasnya, ini susulan Salim Sharif (BN-Jempol) yang ditugaskan sebagai penghitung undi bagi Blok D1 semalam memaklumkan telah tersilap membuat kiraan undi apabila menandakan Idris Jusoh (BN-Besut) sebagai tidak hadir dalam senarai undi.

Dalam maklum balas kepada cadangan dikemukakan, Azhar berkata beliau turut bersetuju bahawa proses undian perlu diperbaiki dan bersedia membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Peraturan, selain terbuka kepada sebarang cadangan. – Bernama, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen