SEMBILAN individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif, menurut agensi antirasuah.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kesemuanya termasuk seorang wanita dipercayai ditahan petang semalam di ibu pejabat agensi itu.
“Empat daripadanya adalah pemilik syarikat dan bakinya masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi.
“Perintah reman ke atas mereka ditetapkan antara tiga hingga enam hari bermula hari ini oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya,” katanya.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, semua suspek berusia antara 34 hingga 58 tahun ditahan kerana disyaki memberi dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta.
“Rasuah itu sebagai sebagai balasan bagi membantu pemilik syarikat itu mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.– 24 Mac, 2022.
Komen