Malaysia masih boleh teruskan kerjasama perdagangan antarabangsa


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia teruskan kerjasama perdagangan dengan negara tidak terlibat dengan konflik Rusia-Ukraine. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

MALAYSIA masih boleh meneruskan kerjasama perdagangan antarabangsa meskipun konflik antara Rusia-Ukraine memberi kesan kepada ekonomi global, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia sebagai negara dagang yang kecil mengambil sikap dan pendirian menjalin kerjasama ekonomi dengan negara dagang lain melalui perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai dan ditandatangani oleh Malaysia.

“Terbaru, Malaysia adalah anggota RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) yang memberikan akses pasaran terbesar di dunia mewakili 2.2 bilion populasi di dunia dan satu pertiga daripada pasaran global.

“Justeru, ini membolehkan Malaysia meneruskan kerjasama perdagangan dengan negara yang tidak terlibat dengan konflik antara Rusia-Ukraine,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Razali Idris yang ingin tahu kesan sampingan yang berlaku terhadap Malaysia susulan konflik Rusia-Ukraine dan usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing ke Malaysia.

Pada 24 Februari, Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine - tiga hari selepas beliau menandatangani dekri mengiktiraf kemerdekaan di wilayah pro-Rusia, Donetsk dan Luhansk, di timur Ukraine. – Bernama, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen