Usul Pua rujuk Najib ke jawatankuasa Parlimen di senarai terakhir aturan urusan mesyuarat


Ahli Parlimen Damansara Tony Pua kemuka usul merujuk Najib Razak kepada jawatankuasa Parlimen susulan kenyataannya berkenaan hutang 1MDB yang mengelirukan Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

USUL dikemukakan Tony Pua untuk merujuk Najib Razak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat susulan kenyataannya berkenaan bayaran hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), berada pada senarai terakhir dalam aturan urusan mesyuarat.

Usul Pua (Damansara-PH) itu berada di senarai ke-19 dalam aturan urusan mesyuarat hari ini. Hari ini adalah hari terakhir persidangan sesi ini.

Dalam usulnya, Pua berkata ucapan Najib (Pekan-BN) pada 2 Mac lalu mengandungi kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifat sebagai menghina Majlis.

Najib membuat kenyataan berkenaan kerajaan tidak membayar prinsipal hutang 1MDB.

Kenyataannya itu kemudian diperbetulkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berkata kerajaan hanya membayar faedah hutang 1MDB, dan jumlah prinsipal akan dibayar pada Mei apabila bon pertamanya matang.

Selepas ahli Parlimen kecoh berkenaan dakwaan tidak tepat Najib itu, Speaker Azhar Azizan Harun mengarahkan Najib menghantar penjelasan bertulis berkenaan kenyataannya itu sebelum 9 Mac.

Selepas menerima penjelasan Najib, Azhar berkata beliau akan menunggu Pua untuk respons kepada Najib sebelum memutuskan sama ada ahli Parlimen Pekan itu mengelirukan Dewan atau tidak.

Semalam, Pua selepas mengkaji penjelasan Najib, menulis kepada speaker untuk menyanggah beberapa perkara dibangkitkan Najib.

Pua berkata Najib menggunakan fakta tertentu secara terpilih dan menggabungkannya untuk menjadikan hutang 1MDB bukan membebankan kerajaan, maka mengelirukan speaker dan ahli Parlimen, serta Dewan Rakyat.

Pada 14 Mac, Tengku Zafrul berkata kerajaan sudah membayar faedah 1MDB sebanyak RM13.31 bilion menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah Kementerian Kewangan.

Ia masih perlu membayar baki prinsipal dan faedah hutang sebanyak RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039, tetapi pada masa ini kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen