Taska di rumah terbeban peraturan baharu, kata Hannah Yeoh


Taska di rumah terbeban dengan peraturan baharu kementerian selepas terjejas teruk oleh pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

PERATURAN baharu yang dikenakan terhadap taska di rumah menyebabkan pengendali dalam keadaan sukar, termasuk menghadapi tekanan kewangan tambahan, kata Hannah Yeoh hari ini.

Antara perubahan ialah pengusaha kecil-kecilan ini ialah kelulusan dengan syarat mendapat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata pengusaha kini dikehendaki beroperasi di lot hujung dan perlu memasang tangga keselamatan di luar rumah, antara lainnya.

Beliau berkata pengendali tidak dimaklumkan mengenai dasar baharu itu terlebih dahulu.

“Arahan ini tidak pernah dibincangkan antara pihak KRPM atau pengusaha taska di rumah bersama Menteri/Timbalan Menteri KPWKM,” kata ahli Parlimen Segambut itu dalam satu kenyataan.

Yeoh berkata pusat jagaan kanak-kanak di rumah biasanya mempunyai empat hingga sembilan anak dalam jagaan mereka, dan beroperasi di rumah usahawan itu sendiri.

Kebanyakan pusat ini dijalankan di rumah pengusaha sendiri atau rumah yang disewa.

“Syarat kelulusan supaya pengusaha memasang tangga keselamatan di luar rumah atau kediaman yang disewa juga mustahil dilaksanakan.

“Arahan terbaharu ini menyebabkan kekeliruan, tekanan perasaan dan kewangan sehingga membebankan para pengusaha,” kata bekas timbalan menteri itu.

Yeoh membidas tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun kerana tidak mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum memperkenalkan perubahan ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas isu-isu kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, Rina sepatutnya lebih kerap melakukan libat urus dan berdialog dengan pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi baharu yang mendatangkan impak besar/negatif

“Saya menggesa beliau segerakan perjumpaan dengan para pengusaha taska yang sudah tidak mampu bertahan lagi dalam era pasca Covid,” katanya. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen