Pemimpin tertinggi Umno gesa semak semula MoU dengan pembangkang


Presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi mempersoalkan keberkesanan MoU antara pembangkang dengan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

PUTRAJAYA perlu menyemak semula Memorandum Persefahaman (MoU) selepas pembangkang gagal menyokong usul di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam, kata dua pemimpin tertinggi Umno.

Dalam catatan berasingan di Facebook, Presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hassan mempersoalkan keberkesanan MoU itu dan kebolehpercayaan sokongan pembangkang terhadap kerajaan.

Zahid berkata Perkara 3 MoU itu jelas menyatakan pembangkang mesti bersetuju, atau berkecuali, dalam mana-mana usul yang dibawa oleh kerajaan.

“Ia sebagai salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.

“Namun, apabila usul yang dibentangkan kali ini gagal akibat tidak mendapat sokongan pihak pembangkang, adalah wajar untuk kita semua menyimpulkan yang mereka telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka sebelum ini,” katanya dalam catatan di Facebook. 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berasa Pakatan Harapan (PH) tidak akan menunaikan janji dan komitmennya.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang.” 

Mohamad Hassan pula berkata mungkin masa yang sesuai untuk Putrajaya bergerak daripada menunggu MoU dengan PH matang pada Julai.

Di bawah MoU itu, Putrajaya bersetuju dengan pembangkang untuk tidak mengadakan pilihan raya umum sehingga 31 Julai.

“Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU sebegini adalah sangat berisiko. 

“Apa lagi bila PH sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata persidangan Parlimen semalam membuktikan PH tidak teragak-agak untuk memungkiri pendirian dan janji.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan,” kata Mohamad.

Usul untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan dalam undi belah bahagi yang menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju dan 86 tidak bersetuju.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata 50 ahli Parlimen tidak hadir semasa pengundian.

Timbalan presiden Umno itu berkata semua yang berlaku menunjukkan sukar untuk Putrajaya bekerjasama dengan pembangkang dalam melaksanakan MoU itu dengan berkesan.

“Tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang di harapkan,” katanya dalam catatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annua Musa juga berkata PH melanggar MoU antara kerajaan dan pembangkang dengan mengundi menentang usul Sosma.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU berkenaan. Dan ini satu ‘blessing in disguise’ kerana YAB PM kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut,” katanya dalam catatan di Facebook.

Bagaimanapun, setiausaha agung DAP yang baru dilantik Anthony Loke tidak bersetuju dengan penilaian Annuar mengenai keadaan itu.

Dalam catatan Facebook, beliau berkata pengundian terhadap sambungan Sosma untuk lima tahun lagi tiada kaitan dengan MoU itu.

“PH tidak melanggar kewajipannya walaupun kami mengundi menentang usul ini. Ia adalah hak kami sebagai ahli Parlimen,” katanya. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen