KADAR vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang masih rendah dan dengan Omicron yang berleluasa di banyak negara, membimbangkan pakar kesihatan yang kanak-kanak mungkin lebih terdedah apabila Malaysia memasuki fasa endemik mulai 1 April.
Statistik menunjukkan hanya 34.4% kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun mendapat dos pertama vaksinasi Covid-19 setakat 18 Mac.
Di China, jumlah kes baharu setiap hari melebihi 10,000 dan kanak-kanak antara mangsa dalam lonjakan baharu itu.
“Saya sukar membayangkan bagaimana keadaannya selepas 1 April,” kata Dr Gan Chin Seng, pakar perunding pediatrik dan profesor madya di Jabatan Pediatrik, Universiti Malaya (UM), kepada The Malaysian Insight.
Dalam fasa peralihan kepada endemisiti, banyak prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk membendung penularan virus itu akan dilonggarkan atau ditarik balik sepenuhnya dan sempadan negara juga akan dibuka semula.
Gan berkata individu dewasa memerlukan tiga dos vaksin untuk mendapat tahap perlindungan terhadap Covid-19, majoriti kanak-kanak hanya mempunyai satu.
“Ia tidak mencukupi untuk melawan Omicron,” katanya.
Bagi menambah masalah itu, Gan berkata terdapat ramai ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk memvaksin anak mereka.
Beliau berkata tidak seperti orang dewasa, ramai kanak-kanak yang dikategorikan dalam kategori dua klinikal (simptom ringan), sering terpaksa dimasukkan ke hospital kerana dehidrasi jika mereka mengalami muntah-muntah. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran bernafas.
SOP semasa kemasukan ke hospital adalah untuk pesakit dalam kategori tiga klinikal yang mempunyai jangkitan paru-paru.
Gan berkata varian Omicron dan Delta memberikan simptom berbeza kepada kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah lima tahun.
Beliau menegaskan individu dewasa yang mendapat vaksin lengkap masih boleh makan dan minum seperti biasa walaupun selepas dijangkiti virus tetapi bagi kanak-kanak yang belum atau tidak divaksin lengkap, kesnya berbeza.
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan ringan mengalami kehilangan selera makan, dehidrasi jika mereka muntah dan perlu dimasukkan ke hospital untuk dimasukkan air melalui intravena (IV) dan pemantauan, katanya.
“Jadi keadaan sekarang berbeza. Peluang kanak-kanak dijangkiti juga meningkat sebanyak 50%”.
Gan berkata kanak-kanak yang biasanya tinggal di rumah, dijangkiti daripada ibu bapa mereka yang bekerja.
“Ibu bapa mereka pergi bekerja, dijangkiti dan menyebar jangkitan di rumah,” katanya.
“Strain Omicron tidak akan menunjukkan keputusan positif jika ujian diambil pada hari pertama jangkitan dan diuji dengan kit ujian Rapid Antigen (RTK-Antigen). Ia hanya muncul pada hari kedua atau ketiga.”
Gan berkata ini memberikan gambaran tidak tepat mengenai situasi itu dan ibu bapa sering lalai.
“Mereka ambil mudah, memikirkan tiada apa-apa berlaku dan pulang ke rumah tanpa pelitup mula, tetapi diuji positif selepas beberapa hari. Kanak-kanak pasti sudah dijangkiti ketika itu.”
Gan berkata walaupun varian Delta adalah varian prevalen, 90% kanak-kanak yang dijangkiti mendapatnya di rumah.
Dengan peralihan kepada endemik semakin hampir, persoalan besar bagi pakar seperti Gan ialah jika ibu bapa akan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya apabila pulang dari kerja.
“Paling kami risaukan ialah kanak-kanak yang mengalami sindrom keradangan multisistem (MIS-C) atau sudah nazak apabila mereka dibawa ke hospital.”
Beliau berkata terdapat banyak kes disahkan melibatkan kanak-kanak dalam keadaan nazak ketika dihantar ke hospital.
“Walaupun memasuki fasa peralihan adalah sesuatu yang lambat laun akan berlaku, kebimbangan sekarang ialah kanak-kanak yang tidak divaksinasi.
“Melainkan bilangan kanak-kanak yang divaksinasi mencapai sasaran tertentu di mana mereka tidak perlu dimasukkan ke hospital walaupun dijangkiti, sukar untuk membayangkan bagaimana keadaannya apabila kita memasuki fasa peralihan,” kata Gan.
Perunding pediatrik Hospital Adventist Pulau Pinang Dr Tan Pek Yong juga merayu kepada ibu bapa supaya tidak menjadikan anak-anak mereka “sebahagian daripada statistik”.
Beliau berkata setiap hari sejak sebulan lalu, ramai kanak-kanak berumur satu bulan hingga lebih 10 tahun dijangkiti.
“Ini mungkin disebabkan Omicron lebih menular. Terdapat banyak kes dengan seorang mampu menjangkiti seluruh keluarga,” kata Tan.
Beliau berkata walaupun kanak-kanak mungkin sembuh daripada demam mereka dalam masa dua hingga tiga hari, jangkitan bakteria tahap kedua boleh menyebabkan ia berbalik dan mereka akan demam semula lima hingga tujuh hari kemudian.
“Mereka memerlukan rawatan antibiotik. Tetapi ibu bapa perlu waspada untuk dua bulan akan datang dan melihat sama ada anak-anak mereka mengalami sindrom MIS-C yang biasanya berlaku antara dua hingga enam minggu selepas jangkitan.”
Beliau berkata lebih 80% kanak-kanak dengan MIS-C memerlukan rawatan penjagaan rapi, dan kemungkinan kematian adalah antara 3% hingga 5%.

Nasihatnya kepada ibu bapa agar semua anak berumur lima tahun ke atas diberi vaksin.
Bagi yang di bawah lima tahun dan belum boleh divaksin lagi, Tan berkata ibu bapa perlu berwaspada dan memakai pelitup muka jika tidak sihat.
“Beri perhatian terhadap kebersihan sehingga pemulihan sepenuhnya adalah paling penting. Jika kanak-kanak mengalami sebarang gejala, penting untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.
“Saya mengesyorkan kit ujian oral untuk kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun. Bagi kanak-kanak di bawah dua tahun, lebih baik pergi ke klinik atau hospital agar doktor dapat menjalankan ujian.”
Beliau juga berkata ibu bapa harus menyuruh anak-anak memakai pelitup muka sepanjang masa, walaupun ketika bermain.
“Seboleh-bolehnya, jangan bawa kanak-kanak yang belum diberi vaksin ke tempat awam. Jika perlu, pergi ke tempat yang kurang sesak, dan jangan ambil mudah.”
Tai Sue Mei, ibu kepada empat , berkongsi dengan The Malaysian Insight apa yang dilalui keluarganya ketika mereka sekeluarga dijangkiti.
Anak-anaknya berumur antata sebulan hingga lapan tahun.
Tai berkata mereka sekeluarga jarang keluar rumah. Kali terakhir mereka keluar adalah ke pusat vaksinasi dan klinik.
Katanya, sebaik sahaja sampai ke rumah, suami dan anak bongsunya mengadu sakit tekak dan demam.
“Mereka disahkan positif dan diarah dikuarantin di rumah. Kemudian, abang dan kakak saya dijangkiti.
“Mereka mengalami demam dan suhu mereka mencecah 40C.”
“Demam anak perempuan saya berlarutan selama tiga hari, dan pada masa itu kami memantau tahap oksigen dalam darahnya.
“Ia juga hari paling sukar untuk saya dan suami kerana terpaksa mengambil suhu badannya dan memantau paras oksigen dalam darahnya setiap dua jam termasuk pada tengah malam.”
Katanya walaupun suami demam panas, beliau masih meluangkan masa untuk menjaga anak mereka yang sakit.
Sementara itu, walaupun anak perempuannya pulih, Tai berkata beliau masih bimbang mengenai MIS-C.
Dengan banyak SOP bakal dilonggarkan, jika tidak ditarik balik, Tai berkata adalah penting bagi ibu bapa untuk terus berwaspada.
“Satu-satunya cara untuk menerima hidup dengan virus adalah dengan mengambil vaksin seumur hidup untuk beransur-ansur kembali kepada kehidupan sebelum pandemik.” – 25 Mac, 2022.
Komen