Muda gagal tarik undi belia di Johor, kata Ilham


Chan Kok Leong

Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata analisis mendapati kebanyakan pengundi Muda adalah daripada PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Mac, 2022.

PARTI belia Muda tidak menarik pengundi muda semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Ilham Centre.

“Walaupun di atas kertas ia boleh memenangi enam kerusi yang diberikan Pakatan Harapan (PH) kepada mereka, Muda hanya boleh menang Puteri Wangsa,” kata pengarahnya, Hisommudin Bakar pada forum di Universiti Malaya semalam.

Selepas menganalisis semua keputusan, Hisommudin berkata kebanyakan pengundi yang mengundi Muda adalah daripada PH.

“Ini kerana kami mendapati 99% pengundi Undi18 dan pemilih yang baru berdaftar (melalui pendaftaran pemilih automatik) tidak pun menyemak pendaftaran mereka ketika ditemubual,” katanya.

Semasa PRN Johor, Ilham Centre membuat tinjauan kepada 1,391 pengundi di sana dan ia menunjukkan kebanyakan pengundi baru berdaftar menunjukkan kurang minat untuk mengundi.

“Oleh itu, peratusan keluar mengundi suram sebanyak 54.9% dalam PRN Johor berbanding 84% pada 2018,” kata Hisommudin.

Beliau berkata golongan belia (berumur 18 hingga 20 tahun) khususnya, adalah kumpulan yang tidak berminat.

“Perbezaan antara belia luar bandar dan bandar ialah di kawasan luar bandar berkemungkinan mereka berasal daripada latar belakang keluarga Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PAS). Jadi mungkin ada tekanan untuk mengundi mengikut kecenderungan keluarga berbanding di kawasan bandar.”

Di Johor, Muda menang satu kerusi daripada tujuh yang ditandinginya apabila setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz menang di Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru. 

Pada 2018, kerusi itu dimenangi oleh Mazlan Bujang daripada Bersatu dengan majoriti 24,959 undi.

Pada PRN Johor, Muda menang satu daripada tujuh kerusi yang ditandinginya menerusi Amira Aisya Abd Aziz di Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

Ketua penyelidik Prof Mohd Yusri Ibrahim berkata hampir tiada kempen sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau parti politik cuba untuk menggerakkan pengundi muda sejak kempen Undi18 pada 2019.

“Walaupun Undi18 berjaya memperjuangkan dan memenangi hak mengundi mereka yang berumur 18 hingga 21 tahun, namun tiada tindakan susulan,” kata Yusri.

Beliau berkata tidak seperti negara lain, sistem pendidikan formal di Malaysia juga tidak banyak membantu mendidik pelajar tentang politik dan demokrasi.

“Pelajar kita melalui pendidikan rendah dan menengah tiada pengetahuan apa apa-apa mengenai politik sehingga mereka mencapai peringkat universiti. Tetapi tiba-tiba pada usia 18 tahun, mereka diberitahu boleh mengundi. 

“Bagaimana mereka boleh melakukannya sedangkan mereka tidak didedahkan atau dididik?” kata pensyarah Universiti Malaysia (Terengganu).

Beliau berkata SPR sepatutnya melakukan lebih banyak usaha untuk mempromosikan Undi18 dan AVR semasa kempen Johor.

“Kita akan melihat peratusan keluar mengundi yang sama rendah pada PRU15 jika tiada tindakan diambil dalam kempen kesedaran mengundi,” kata Yusri.

Walaupun lebih 750,000 pengundi baharu ditambah untuk PRN Johor, peratusan keluar mengundi hanyalah 54.9% atau 1.42 juta pengundi. 

Pada 2018, peratusan keluar mengundi ialah 84% atau 1.52 juta.

Antara punca peratusan keluar mengundi yang rendah termasuk kesedaran yang rendah dalam kalangan pengundi baru berdaftar dan kelesuan politik dalam kalangan pengundi pembangkang.

Menurut Ilham, peratusan keluar mengundi di kerusi luar bandar meningkat sedikit sebanyak 60% diikuti oleh kawasan pinggir bandar (57%) dan bandar (50%). – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen