Saksi setuju dengan peguam Najib pengurusan 1MDB 'tipu' bekas PM


Ravin Palanisamy

Saksi pendakwaan Ismee Ismail bersetuju dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang pengurusan 1MDB telah mengelirukan Najib Razak dan juga lembaga pengarah firma itu dengan merangka cadangan terperinci berhubung usahasama dengan PetroSaudi International Limited. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2022.

BEKAS pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Ismee Ismail bersetuju dengan peguam bela Najib Razak yang pengurusan firma pelaburan itu telah “menipu” dan mengelirukan bekas perdana menteri berhubung usahasama dengan PetroSaudi International Limited (PSI).

Ismee, saksi pendakwaan, bersetuju dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang pengurusan 1MDB telah mengelirukan Najib dan juga lembaga pengarah firma itu dengan merangka cadangan terperinci untuk perjanjian itu.

Shafee: Ini adalah 100 peratus kerja penipu. Semua cadangan dibuat oleh pengurusan (1MDB). Ia dibuat secara terperinci oleh pihak pengurusan.

Ismee: Ya.

Shafee sedang menyoal balas saksi mengenai perjanjian 1MDB dengan PSI untuk menukar 40 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi Limited yang dibelinya pada AS$1 bilion, kepada pinjaman Islam dalam syarikat usahasama yang sama.

Di bawah perjanjian itu, 1MDB bersetuju untuk menjual 40 peratus kepentingan kepada usaha sama itu dengan memberikan pinjaman Islam di atas kertas melalui nota Muharabah pada nilai AS$1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usahasama itu di atas kertas akan berhutang AS$1.2 bilion kepada 1MDB, sekali gus memberikan 1MDB keuntungan ata skertas sebanyak AS$200 juta selepas mengambil kira AS$1 bilion awal.

Shafee menggelar ini sebagai “pertunjukan ajaib” oleh pengurusan 1MDB, mendakwa anak guamnya Najib tidak meluluskan nota Murabahah dan tidak bersetuju dengan terma tertentu.

“Pihak pengurusan melakukan pertunjukan silap mata. Anda (1MDB) akan dapat AS$1.2 bilion atas kertas, bukan wang tunai sebenar,” kata Shafee dalam soal balasnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shafee kemudian mencadangkan beberapa nama, yang menurutnya terlibat dalam penggubalan cadangan pelaburan itu.

Antara nama yang disebutnya ialah bekas peguam am 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee.

Ismeee bersetuju dengan nama yang disebut.

Shafee kemudian berkata perlu ada kertas kerja yang “sangat meyakinkan” bagi mengelirukan lembaga yang mana Najib tidak ada kaitan.

Ismee bersetuju.

Shafee: Anda telah bersetuju ini adalah pemikiran terperinci tentang kertas kerja untuk mengelirukan lembaga. Anda perlu ada kertas kerja yang cukup meyakinkan untuk lembaga itu. Setuju dengan saya?

Ismee: Ya

Shafee: Bolehkah anda bayangkan dalam imaginasi paling liar anda, PM (akan) terlibat dalam pengarahan tentang cara menipu 1MDB. Boleh awak bayangkan?

Ismee: Saya tidak fikir mana-mana perdana menteri akan ada masa untuk itu.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen