Badan pemikir pertahan jemput Najib ke forum ekonomi


Noel Achariam

Pengasas Institut Strategi Antarabangsa Cheah Chyuan Yong berkata bekas perdana menteri Najib Razak dijemput ke Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang isu ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2022.

MENJEMPUT Najib Razak ke Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2 termasuk memberi ucapan pada hujung minggu ini tidak sepatutnya dijadikan isu, kata penganjur.

Pengasas Institut Strategi Antarabangsa Cheah Chyuan Yong berkata bekas perdana menteri itu dijemput ke sidang tersebut bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang isu ekonomi.

Tambahnya jemputan yang diberikan kepada Najib, yang telah disabitkan dengan tuduhan rasuah berkait skandal 1MDB dan beberapa lagi pertuduhan, tidak seharusnya dilihat dari perspektif politik.

“Rakyat tidak seharusnya lihat pelawaan ini dari sudut politik. Lihat dari sudut ekonomi.

“Suka atau tidak suka seseorang itu, terutamanya tokoh politik, sangat subjektif,” kata Cheah kepada The Malaysian Insight.

Cheah berkata Najib adalah lulusan ekonomi dan pemimpin yang mempunyai kepakaran dan wawasan.

Beliau mempertahankan keputusan menjemput Najib ke majlis itu berikutan bantahan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina.

Katanya ramai ahli perniagaan Cina makmur ketika pentadbiran Najib.

“Ahli perniagaan China masih hargai era pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kestabilan sosial (di bawah Najib),” katanya,

Beliau juga menegaskan masyarakat Cina telah menemui jalan untuk menerima bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau pernah menjadi tokoh yang dibenci masyarakat.

“Di mata ramai masyarakat Cina, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang kontroversi, tetapi pada 2018, beliau kembali menjadi perdana menteri.

“Jadi, saya harap semua orang boleh melihat penyertaan Najib dalam persidangan pelaburan ini dari sudut ekonomi, bukan sudut politik.”

Najib dijemput ke sidang anjuran Institut Strategi Antarabangsa bersama Belt and Road Chamber of Commerce Malaysia.

Acara itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Setia Spice di Pulau Pinang pada 25 Mac.

Cheah berkata Najib juga berdepan kritikan ketika menghadiri Forum Ekonomi Cina Sedunia tahun lepas.

“(Tetapi) Najib memberi kita pandangannya mengenai struktur ekonomi dan transformasi Pulau Pinang.

“Jadi, saya jemputnya untuk sidang kemuncak ini.”

Beliau juga berkata penganjur juga telah menjemput Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan exco kerajaan negeri ke majlis itu.

“Kami percaya Pulau Pinang yang diketuai oleh Chow telah menjaga kepentingan ekonomi semua rakyat Pulau Pinang.”

Tambah Cheah majlis itu adalah mengenai hala tuju ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Jadi, saya harap melalui sidang kemuncak ini, pakar ekonomi akan berkongsi laluan ekonomi terkini dan paling sesuai untuk rakyat Pulau Pinang dengan peserta, supaya semua orang akan ada susun atur yang lebih bersasar dalam perniagaan dan hala tuju pelaburan masa depan.”

Beliau juga berkata ceramah mengenai cabaran ekonomi yang dihadapi negara akibat pandemik Covid-19 juga akan diadakan.

Najib disabitkan dengan tuduhan rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas kaitan dengan dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Mahkamah rayuan telah mengekalkan sabitan itu dan satu lagi di Mahkamah Persekutuan rayuan masih dalam proses. – 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen