Kementerian bincang dengan Venezuela buka semula sempadan negara, kata Wee


Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong mengadakan pertemuan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Venezuela (INAC) membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Venezuela. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2022.

PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia-Venezuela adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Venezuela (INAC).

Wee berkata pertemuannya dengan pihak INAC yang berlangsung di Montevideo, Uruguay semalam juga menyentuh perjanjian Malaysia-Venezuela mengenai latihan dan lebih banyak perjanjian berkaitan perkhidmatan udara.

“Saya menerima sokongan yang amat menggalakkan hasil daripada pertemuan bersama Presiden INAC Mejar Jeneral Juan Teixeira khususnya mengenai pembukaan semula sempadan udara kedua-dua negara dengan selamat.

“Kami juga komited menghidupkan semula perjanjian perkhidmatan udara Malaysia-Venezuela sejak tahun 1993. Ini sekali gus berupaya membuka jalan lebih banyak hubungan udara dengan Amerika Latin menerusi ‘code-sharing’,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Wee berkata Malaysia juga berbincang dengan Venezuela untuk menganjurkan lebih banyak kursus latihan dan pertukaran peserta berkaitan penerbangan dalam pembangunan sumber manusia.

Katanya ia termasuk pengurusan kewangan, dan kepakaran teknikal penerbangan lain di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), khususnya yang ditawarkan oleh Akademi Penerbangan Malaysia.

Menurutnya banyak yang boleh ditawarkan oleh Malaysia mahupun Venezuela dan kedua-dua negara akan berusaha menjalinkan kerjasama yang lebih membuahkan hasil pada masa hadapan. – Bernama, 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen