NEW Zealand akan melonggarkan peraturan ketat Covid-19 minggu ini berikutan jumlah kes melepasi kemuncaknya dan penduduk mempunyai tahap imuniti yang tinggi, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini.
Ardern berkata had bilangan orang ramai berkumpul dibatalkan pada Jumaat membolehkan acara sukan dan konsert diadakan tanpa terhad.
Beliau berkata pas vaksin dan kod imbasan tidak lagi diwajibkan mulai 4 April dan kebanyakan peraturan vaksin - yang memerlukan pekerja divaksin atau dipecat akan digugurkan.
“Ini bukan penamat tetapi dalam beberapa cara ia juga merupakan permulaan baharu.
“Sehingga kini kita mempunyai lebih 500,000 kes Covid-19 yang dilaporkan dan pakar berkata mungkin terdapat 1.7 juta jangkitan sebenar.
“Angka itu ditambah dengan 95% rakyat New Zealand sudah diberi vaksin sepenuhnya bermakna kita kini mempunyai tahap imuniti kolektif yang tinggi,” katanya.
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas Ardern menggariskan rancangan untuk membuka semula sempadan New Zealand lebih awal daripada yang dijadualkan.
New Zealand dipuji secara meluas kerana mengekang penularan Covid-19 daripada komuniti untuk tempoh berpanjangan semasa pandemik tetapi kini berdepan gelombang jangkitan varian Omicron dengan hampir 21,000 kes baharu direkodkan pada Selasa.
Bagaimanapun penduduk mendapat vaksin tinggi dan hanya 177 kematian berkaitan koronavirus dalam populasi lima juta.
“Walaupun kita berjaya, ia juga sukar.
“Saya berterima kasih kepada warga New Zealand atas pengorbanan besar yang mereka lakukan sejak dua tahun lalu,” kata Ardern.
Ardern berkata suntikan vaksin untuk polis, tentera dan sektor pendidikan akan digugurkan walaupun mereka akan kekal untuk penjagaan kesihatan serta pekerja sempadan.
Beliau menafikan tindakan itu dikaitkan dengan tunjuk perasaan di Wellington yang berakhir dengan rusuhan awal bulan ini ketika polis mengalihkan kem penunjuk perasaan anti-vaksin yang berkumpul di luar perkarangan Parlimen selama tiga minggu. – AFP, 23 Mac, 2022.
Komen