IBU bapa Teoh Beng Hock memfailkan semakan kehakiman susulan kegagalan polis menyiasat kematian anak mereka yang jatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 2009.
Malaysiakini melaporkan Teoh Leong Hswee dan isterinya Teng Shuw Hoi memfailkan kebenaran untuk semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Januari.
Ketua polis negara, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan dinamakan sebagai repsonden dalam permohonan itu, dipetik oleh Malaysiakini.
Teng dalam affidavit sokongannya berkata polis gagal melengkapkan siasatan kematian anaknya, berulang kali meletakkan kes itu sebagai “Tiada tindakan lanjut”, gagal mengemas kini maklumat kepada keluarga dan tidak telus.
Beliau berkata polis melakukan perkara itu walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan secara sebulat suara pada 2014 yang kematian anak lelakinya itu berpunca daripada tindakan “seorang atau lebih individu tak dikenali”.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas menjalani soal siasat di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan itu.
Ketika itu, mendiang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan dan exco Selangor Ean Yong Hian Wah.
Teng dalam afidavit sokongannya berkata polis gagal melengkapkan siasatan kematian anaknya, walaupun dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan, dan perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta mengundang kecaman awam.
Katanya, polis menubuhkan tiga pasukan petugas pada 2011, 2014 dan 2018 untuk menyiasat kematian anaknya.
Ibu bapa mangsa memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus untuk ketua polis negara melengkapkan siasatan dalam masa sebulan selepas keputusan mahkamah.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memutuskan mendiang bunuh diri itu akibat soal siasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai SPRM.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditetapkan pada 16 Jun di hadapan Hakim Noorin Badaruddin. – 23 Mac, 2022.
Komen