PUTRAJAYA tidak berbuat apa-apa untuk mempromosikan Undi18 sejak ia diwartakan tahun lepas, kata Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz sambil menambah kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ia sampai kepada semua belia.
Amira berkata ini amat penting supaya golongan belia generasi ini tidak terlepas daripada hak mengundi.
Beliau berkata penting bagi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan apabila rang undang-undang baharu diwartakan, ia sampai kepada rakyat.
“Kerajaan mempunyai jentera untuk mewujudkan kesedaran (mengenai Undi18) melalui media arus perdana, bagi mendekati generasi muda.
“Kami percaya kerajaan tidak melakukan secukupnya,” kata Amira kepada The Malaysian Insight.
Tahun lalu, kerajaan melaksanakan perundangan Undi18, seperti diperintahkan mahkamah selepas Putrajaya menangguhkan pelaksanaannya.
Penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 kini berkuat kuasa bersama-sama pendaftaran pemilih automatik.
Pada 12 Mac, semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor, Undi18 meningkatkan populasi pengundi kira-kira 750,000 pengundi.
Ini terdiri daripada 175,000 pengundi berumur antara 18 hingga 20 dan 575,000 pengundi berumur 21 tahun ke atas yang tidak pernah mendaftar sebelum ini.
Bagaimanapun, pengundi secara automatik dimasukkan ke dalam daftar pemilih sebaik sahaja Undi18 berkuat kuasa.
Daripada kira-kira 2.59 juta pengundi yang layak, hanya 1,426,573 membuang undi mereka dalam PRN Johor - peratusan keluar mengundi sebanyak 54.92%.
PRN Johor adalah kali pertama mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun dapat mengundi.
Amira berkata lebih kesedaran diperlukan kerana peratusan keluar mengundi yang rendah di Johor.
“Semasa berkempen, saya berjumpa dengan ramai belia dan mereka tidak tahu pun mereka boleh mengundi.
“Mereka beritahu saya belum mendaftar untuk mengundi, kemudian saya maklumkan ia adalah pendaftaran pengundi secara automatik.
“Ramai belia teruja, tetapi tidak tahu mereka boleh mengundi.”
Amira yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Johor berkata bukan parti politik sahaja yang mendidik belia, tetapi juga masyarakat.
“Paling penting bagi Muda ialah mewujudkan kesedaran politik dan mendidik golongan beliau mengenai hak mereka untuk mengundi,” katanya.
“Kita perlu bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil dan masyarakat. Ini untuk mendidik mereka, bukan mempromosikan Muda kepada mereka.”
Proses pengundian hendaklah dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah.
Amira juga berkata proses pengundian perlu diformalkan ke dalam sistem pendidikan.
“Kita perlu ada sukatan pelajaran sekolah kenapa mereka perlu mengundi, cara mengundi dan mengenal pasti calon yang bertanding di kawasan mereka.
“Semua ini harus dimasukkan dalam sukatan pelajaran apabila mereka berumur 15 tahun, jadi apabila mencapai 18 tahun, mereka akan memahami prosesnya.”
Beliau menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji proses ini untuk melihat bagaimana ia boleh dilaksanakan.
“Mungkin bukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi untuk masa depan. Kementerian harus menangani isu ini dan memastikan ia dilaksanakan dengan baik.”
Amira berkata penting bagi wakil rakyat semasa sidang Parlimen ini menggalakkan kerajaan yang lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan kesedaran pengundi.
“Adalah sia-sia pendaftaran pengundi secara automatik sedangkan mereka (belia) tidak tahu sudah berdaftar. Kita perlu pastikan semua orang tahu mengenainya.” – 23 Mac, 2022.
Komen