DEWAN Negara perlu menghantar semula Akta Kerja 1955 yang diluluskan semalam untuk semakan dan perubahan, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.
Mereka berkata pindaan Akta Kerja yang dicadangkan berpotensi meletakkan wanita dalam keadaan merugikan dengan perubahan itu.
Ketua pegawai eksekutifnya Azrul Mohd Khalib berkata sebagai contoh, satu daripada definisi pekerja di bawah Jadual Pertama ialah seseorang yang memeterai kontrak perkhidmatan dengan majikan dengan gaji tidak melebihi RM2,000 sebulan.
“Had gaji tidak seharusnya menjadi prasyarat untuk seseorang itu dianggap sebagai pekerja di bawah undang-undang. Bagaimana pula mereka yang berpendapatan lebih daripada jumlah itu?” katanya dalam satu kenyataan.
Azrul berkata pindaan itu bermakna wanita dan lelaki yang berpendapatan melebihi RM2,000 tidak akan layak mendapat cuti bersalin yang baru dipersetujui selama 98 hari dan cuti paterniti selama tujuh hari.
Ini katanya, termasuk perlindungan daripada diskriminasi kehamilan dalam cadangan Seksyen 41A yang melarang pemberhentian pekerja wanita atas alasan mengandung.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan pindaan untuk menambah cuti bersalin daripada 90 kepada 98 hari di bawah Akta Kerja 1955. Ia diluluskan dengan undi suara.
Pertambahan itu adalah selaras dengan cadangan yang dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Menurut Konvensyen 183 yang diluluskan pada 2000, memerlukan kerajaan memberi jaminan cuti 98 hari (14 minggu) bersalin berbayar.
Rang undang-undang pindaan itu melibatkan perubahan kepada 46 fasal, termasuk 10 fasal baharu, 26 fasal pindaan, dan enam fasal dimansuhkan.
Azrul berkata rang undang-undang itu perlu dihantar semula ke Parlimen untuk disemak dan bukannya bergantung kepada Pekeliling yang akan dikeluarkan selepas rang undang-undang itu berjaya diluluskan menjadi undang-undang dan diwartakan bagi menangani jurang ini.
Bagaimanapun, beliau berkata adalah pelik yang perubahan ini tidak dimasukkan dalam rang undang-undang pindaan yang dicadangkan kerana ia diketahui sebelum ini dan perlu.
“Apa yang mungkin berlaku ialah syarikat akan mengekalkan cuti bersalin selama 60 hari, dan tidak memberikan tambahan 38 hari dan cuti paterniti.
“Lagipun, tiada kewajipan undang-undang sehingga ada Pekeliling. Apakah rasional di sebalik pendekatan ini?”
Azrul juga mempersoalkan mengapa perlunya Pekeliling yang berasingan sedangkan perubahan itu boleh digabungkan semasa sesi pindaan Akta Kerja ini.
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial ialah organisasi penyelidikan dan advokasi dasar awam bebas yang khusus untuk membincangkan isu kesihatan dan sosial melalui pandangan dasar awam. – 22 Mac, 2022.
Komen