Rakyat rugi kalau kerajaan ikut cakap Najib selamatkan Sapura, kata Rafizi


Sapura pernah dibantu berbilion ringgi sejak lebih sedekad yang lalu tetapi terus juga mengalami masalah kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

RAKYAT akan rugi besar sekiranya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang bakal bankrap, seperti disaran bekas perdana menteri Najib Razak, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi menjelaskan beliau simpati dengan nasib kakitangan Sapura tetapi tidak adil untuk menyelamatkan selintir syarikat korporat ketika semua perniagaan pun susah.

“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan di blognya.

Malah katanya, tidak adil juga untuk kerajaan menyelamatkan lagi Sapura selepas syarikat itu pernah dibantu berbilion ringgi sejak lebih sedekad yang lalu tetapi terus juga mengalami masalah kewangan.

Dalam hebahan kenyataannya di Twitter, Rafizi mengingatkan semua pihak supaya jangan lalai dengan apa yang sedang Najib buat.

“Najib tengah seronok desak pakai duit rakyat untuk selamatkan syarikat korporat… tengah semua parti sibuk hal dalaman.

“Kita jangan alpa. Kena perhati dekat-dekat dengan Najib ni, nanti jadi 2MDB,” tulisnya.

Sejak beberapa hari lalu, Najib menulis mengenai kedudukan kewangan Sapura dan kesan besarnya jika tidak diselamatkan oleh kerajaan melalui Petronas atau Khazanah Nasional.

Najib memberi contoh kerugian kepada pemegang saham Sapura, antaranya agensi kerajaan, selain nasib ribuan orang yang akan hilang pekerjaan.

Menurut Rafizi, selepas kebangkitan semula Umno dan Barisan Nasional (BN) melalui pilihan raya negeri Melaka dan Johor, suara seperti Najib yang ambil mudah perbelanjaan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat makin kuat kedengaran.

Rafizi mengingatkan rekod pentadbiran BN terutamanya semasa Najib jadi perdana menteri (2009-2018) menunjukkan skandal besar pembaziran wang negara berlaku ketika BN beranggapan ia kuat dan tidak tercabar.

Katanya, beliau akan terus memantau isu ini dan mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.

“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.

“Sekembalinya saya ke arena politik, InsyaAllah setiap idea songsang dari Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menerima maklum balas dari saya,” tambahnya.

Minggu lalu Rafizi mengumumkan kembali aktif dalam politik dan menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti bulan depan.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 kerana berhadapan sabitan kes berhubung pendedahannya mengenai dokumen bank melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Pada hujung 2019, Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas Rafizi, yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Rafizi selepas itu mengumumkan bersara daripada politik. – 22 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen