PELAKON Zul Ariffin akan disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik klip video adegan panas di media sosial baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Zul Ariffin mencetuskan kontroversi selepas berkongsi video teaser adegan asmara lakonan beliau dan Siti Hariesa daripada drama bersiri Perempuan Itu, yang dijadual ditayang di TV3 tidak lama lagi.
“Proses undang-undang berjalan. Pelakon, Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana ‘posting’ (di Instagram) yang menyalahi undang undang,” katanya di Twitter.
Annuar berkata adegan semacam itu tiada ruang untuk disiarkan di negara ini.
“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” tambahnya.
Selepas mendapat kecaman di media sosial, pengarah drama Ain Sharif menjelaskan adegan itu bukan untuk tayangan sebaliknya “untuk tujuan publisiti”, jika sesuai.
Beliau juga mendakwa klip video “bocor” dan tidak tahu akan dikongsi oleh Zul Ariffin di media sosial.
TV3 dalam satu kenyataan rasmi menegaskan adegan yang dipaparkan tidak sesuai untuk siaran atau promosi.
“Malah adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen,” kata stesen penyiaran itu.
Klip video itu sebelum ini turut ditegur menteri agama Idris Ahmad yang menyifatkannya melampau batas.
“Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati,” katanya. – 22 Mac, 2022.
Komen