BEKAS pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng menerima AS$35.1 (RM148 juta) melalui syarikat samaran yang ditubuhkan isterinya, mahkamah AS diberitahu semalam.
Bloomberg hari ini melaporkan pendakwa berkata Ng yang dituduh bersubahat untuk merompak dana kekayaan negara Malaysia menyuruh pasangannya Lim Hwee Bin mewujudkan sebuah syarikat untuk membersihkan berjuta-juta dolar dalam sogokan daripada ahli pernigaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Ng dibicarakan kerana bersubahat dengan bekas majikannya Tim Leissner bagi membantu Low mencuri berbilion dolar daripada 1MDB.
Isteri Ng tidak didakwa. Leissner mengaku bersalah dan menjadi saksi bagi negeri itu. Low didakwa secara ‘in abstentia’.
Mahkamah semalam ditunjukkan surat menyurat e-mel yang menurut pihak pendakwaan sebagai bukti bahawa isteri Ng, Lim “memainkan peranan penting dan utama” dalam membantu suaminya membersihkan bayaran haram daripada tiga urus niaga bon yang diatur Goldman untuk 1MDB.
Ejen FBI Sean Fern memberi keterangan semalam bahawa Lim bertanya tentang mewujudkan entiti syarikat samaran sehari sebelum urus niaga bon pertama 1MDB dimuktamadkan.
Silken Waters kemudiannya dinamakan Victoria Square dibuka bersama-sama dengan akaun bank di UBS Group AG beberapa hari selepas perjanjian bon ditutup, kata Fern.
Ibu Lim Tam Kim Chin disenaraikan sebagai pemilik syarikat samaran itu.
Fern berkata beliau mengesan e-mel yang menunjukkan pegawai bank berkomunikasi dengan Lim mengenai Victoria Square dan akaun UBS.
Pendakwa raya berkata dalam urus niaga bon pertama AS$1.75 bilion dipanggil Project Magnolia, Low dan rakan sekutunya menyelewengkan sekurang-kurangnya AS$500 juta dengan menggunakan sebuah entiti samaran dikenali sebagai Aabar PJS Limited di British Virgin Islands.
Leissner mengakui menerima lebih AS$60 juta daripada Low dengan cara yang sama - melalui akaun yang dikawal oleh isterinya ketika itu Judy Chan Leissner.
Menggunakan akaun Chan katanya dia menyalurkan AS$35.1 juta menerusi entiti diwujudkan oleh Lim.
Ng berkata Chan menghantar wang itu kepada Lim untuk transaksi perniagaan yang tidak berkaitan. Peguamnnya berkata mereka akan memanggil Lim memberi keterangan bagi pihak suaminya.
Perbicaraan bekas pegawai bank itu adalah sebahagian daripada siasatan lebih luas terhadap skandal 1MDB yang menyaksikan aset berbilion dolar diperoleh semula dalam rampasan sivil oleh Jabatan Kehakiman AS.
Bekas perdana menteri Najib Razak antara yang didakwa dan disabitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram berkaitan skandal berkenaan. – 22 Mac, 2022.
Komen