SEBANYAK 15,507,221 individu dewasa atau 65.9 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,944,111 atau 97.5 peratus daripada populasi sama melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,220,067 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, 2,844,722 individu atau 91.4 peratus daripada populasi itu melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,942,850 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, 1,267,491 individu atau 35.7 peratus kumpulan itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 28,360 dos diberikan meliputi 4,848 dos pertama; 1,651 dos kedua dan 21,861 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,515,709.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 63 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor tertinggi iaitu 14 kes, diikuti Selangor 13 kes, Perak (12), dan Kedah (empat).
Selain itu, tiga kes dilaporkan masing-masing di Pulau Pinang, Sarawak dan Kuala Lumpur diikuti Melaka, Sabah dan Terengganu dengan dua kes masing-masing, dan satu kes dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Labuan. – Bernama, 22 Mac, 2022.
Komen