Membina cerita baru


APA khabar lama tak jumpa? Ini suara dari orang Kuala Lumpur. Apo koba lamo tak jumpo? Ini suara dari loghat orang Jelebu. Dari Ustaz Wan Ji bila berjumpa dia berkata: Apa cer? Ini lorat anak muda sekarang.

Apa khabar atau apo koba atau apa cer – semuanya sama. Apa cer – pengucapan anak muda lebih jelas. Bertanya “cer” maknanya bertanya apa cerita.

Bercerita ini untuk apa?

Orang moden menggunakan cerita dengan perkataan Inggeris – naratif. Saya tak mahu gunakan perkataan naratif, nampak macam nak tunjuk pandai walhal perkataan Melayu – bercerita – lengkap, tepat dan mudah difahami.

Manusia ini binatang yang bercerita. Hidup manusia ini dipandu oleh cerita. Yang membezakan kita dengan binatang lain – dengan gajah atau dengan lembu – ialah kebolehan umat manusia bercerita.

Ayam betina selepas bertelur akan berketak riuh sekampung. Tapi cerita ayam ini tidak difahami itik. Itik patah kaki kerana dilanggar basikal juga tidak berupaya untuk bercerita pada itik lain bagaimana kakinya boleh patah.

Hanya kita manusia bukan saja berupaya bercerita tentang ayam di reban bertelur malah bagaimana itik patah kaki dilanggar basikal akan dijadikan cerita. Ini bezanya manusia dengan haiwan. Beza kita manusia dengan gajah.

Untuk pelajar penulisan atau pelajar filem atau sandiwara atau bangsawan mereka akan diajar dalam ilmu penulisan cerita wajib ada tiga babak. Babak permulaan, babak pertengahan dan babak akhir – Babak 1, Babak 2 dan Babak 3. 

Tiga babak penceritaan ini adalah hukum alam yang tidak beralih atau berubah. Ini hukum azali. Kita dilahirkan sebagai bayi – mendewasa – dan kemudian menua. Begitu juga daun – pucuk hijau muda – daun hijau tua – dan daun merah yang akan gugur.

Hukum penceritaan ini tidak beralih-alih sejak kun faya kun – jadilah jadi.

Kitab-kitab kuno, kitab suci dari semua agama juga adalah cerita. Cerita inilah yang mengikat kita sesama kita. Hidup umat manusia berpandukan cerita-cerita ini. Sama ada cerita dongeng, cerita berfakta, cerita berilmiah atau cerita karut – semua ini tidak penting. Yang penting si pendengar cerita ini akan yakin dan percaya dan mahu berkongsi dengan cerita yang didengar.

Jika kita berbuat baik maka kita akan masuk ke syurga  dan berpeluang berjumpa bidadari. Jika kita berbuat jahat kita akan dibakar api neraka.

Cerita sebegini terus kita dengar. Suatu ketika dulu cerita genre ini kita dengar di surau pada malam Jumaat. Pada zaman sekarang cerita bergenre yang sama boleh kita dengar dan lihat di YouTube.

Sang ustaz masih berlabun dengan kisah dan cerita yang sama. Jalan cerita, watak cerita dan rumusan cerita tidak berubah-ubah.

Penceritaan politik

Apa sangkut paut cerita dengan politik hari ini?

Jangan salah baca. Politik juga ialah penceritaan. Tanpa cerita tak ada politik. Macam juga agama. Tanpa cerita tidak ada agama.

Biar saya berikan contoh yang mudah diketahui umum. Cerita Nabi Musa melarikan diri membawa Bani Yahudi dari Mesir. Nabi Musa dengan tongkatnya membelah Laut Merah untuk Bani Yahudi melintas. Akhirnya rombongan Nabi Musa sampai ke Palestin untuk mendirikan negara baru bernama Israel.

Cerita ini terus menjadi pasak untuk menghalalkan wujudiah Zionis Israel di Palestin. Sama ada cerita Nabi Musa ini betul atau hanya dongeng bukan persoalan. Yang penting cerita ini diyakini dan dipercayai Bani Israel.

Di Perancis kaum feudal dan kaum agamawan bersekongkol menindas kaum tani. Dalam kesengsaraan kehidupan Pak Tani ini muncul pemuka baru yang membawa cerita – kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan. Ini cerita baru.

Cerita baru ini tersebar dan mengampuh. Akhirnya kepala Raja Louis dipenggal pada 21 Januari, 1793. Sembilan bulan kemudian kepala Permaisuri Marie Antoinette dipenggal pada 16 Oktober, 1793.

Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan ini menyeberang Lautan Atlantik sampai ke Amerika. Cerita ini diwatankan diasimilasikan untuk menjadi cerita imigran baru di Amerika. Imigran yang berasal usul dari Eropah ini berjaya melawan kuasa kolonial Anglo-Saxon. Mereka memerdekakan diri pada 1776.

Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan dari Perancis ini membuka jalan untuk memerdekakan hamba abdi berkulit hitam dari Afrika.

Begitu hebat cerita dari Perancis ini hingga membawa Perang Saudara Amerika yang bermula pada 1861. Pada 1862 hamba abdi dihapuskan di Amerika. Tetapi Perang Saudara berterusan hingga ke 1885.

Karl Marx (1818-1883), pemikir, sosiologis dan ahli falsafah Yahudi kelahiran Jerman melarikan diri ke London. Di London Karl Marx membuat satu cerita baru. Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan dari Perancis ditambah baik lagi oleh Karl Marx.

Marx bercerita bagaimana satu dunia baru yang lebih adil, lebih saksama dan lebih bersaudara boleh diwujudkan jika sistem ekonomi kapitalis diganti dengan sistem ekonomi sosialis.

Cerita baru Marx mempengaruhi Vladimar Lenin (1870-1924). Lenin bersama Leon Trotsky (1879-1940) telah menubuhkan Parti Komunis Russia. Cerita dari Marx ini membuka jalan untuk melahirkan Revolusi Bolshevik (1917). Akhirnya Russia menjadi negara sosialis pertama dalam dunia. 

Tsar Nicholas (1868-1918) raja Russia dan kaum keluarga dan suku sakat feudalnya dihapuskan.

Cerita dari Marx ke Lenin dan akhirnya sampai juga ke Tanah Melayu. Cerita dari Karl Marx ini bercampur dengan cerita dari Perancis, dengan cerita dari Amerika dan ditambah dengan cerita dari Russia.

Cerita ini didengar Ahmad Boestamam (1920-1983), Pak Sako (1909-1991), Burhanudin Helmi (1911-1969), Mokhtaruddin Lasso (1915-1951), Abdulah CD (1923-). Ketika ini Tanah Melayu sedang dijajah Inggeris.

Berpandukan semua cerita ini Boestamam dan kawan golongan muda ini mengajukan Tanah Melayu Merdeka dengan menubuhkan Kesatuan Melayu Muda pada 1938.

Sosok ini menyebarkan cerita merdeka. Menyebarkan keindahan dan nikmat berkerajaan sendiri. Cerita Tanah Melayu Merdeka ini menjerut hati dan naluri anak watan Tanah Melayu.

Orang Melayu, anak muda Melayu, kaum tani Melayu dari kampung bila mendengar cerita Tanah Melayu Merdeka ini menjadi gembira. Mereka menyambut cerita merdeka ini dengan tangan terbuka.

Cerita dibawa Boestamam dan Abdulah CD ini menakutkan kuasa kolonial Inggeris. Sama seperti cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan yang menakutkan Tsar Nicholas dan King Louis – cerita Tanah Melayu merdeka ini menakutkan penjajah Inggeris.

Cerita merdeka ini tidak dapat dibendung penjajah. Cerita ini mengombak menggelombang untuk membuka sejarah baru.

Cerita Tanah Melayu Merdeka ditentang bukan saja oleh kuasa kolonial. Malah ada kaum feudal juga menentang cerita dibawa Boestamam.

Akhirnya pembelotan berlaku. United Malays National Organisation bersedia membelot dan bersekongkol dengan kuasa kolonial Inggeris. Tunku Abdul Rahman mendirikan kerajaan tebuk atap yang pertama di Tanah Melayu.

Cerita baru, cerita lunak

Justeru apa khabar sekarang? Apo koba sekarang? Apa cer sekarang ini?

Kerajaan belot tebuk atap Tunku ini juga membawa cerita baru. Cerita ini cerita ayam mati di kepuk padi. Cerita kera di hutan disusukan anak di pangkuan mati kelaparan.

Cerita dibawa Ahmad Boestamam gagal menjadi kenyataan. Nikmat merdeka yang digambarkan oleh Pak Sako tidak menjadi hidangan juadah untuk Bani Melayu. Maka berlaku pergaduhan membunuh pendatang asing. Pendatang asing ini menjadi cerita baru. Cerita yang lunak didengar telinga Bani Melayu.

Cerita 13 Mei ini menjadi cerita tragedi. Genre tragedi ini mengikut pentafsiran istilah penulis bangsawan tersohor William Shakespeare (1564-1616). Cerita sedih menyayat hati.

United Malaya National Organisation menjaja cerita Mei 13 ke hulu ke hilir. Cerita Mei 13 ini juga dikaitkan dengan perlunya Bani Melayu mendapat nikmat merdeka, seperti cerita yang dibawa Boestamam.

Cerita Mei 13 ini membolehkan pemimpin dalam United Malays National Organisation mencuri duit untuk jadi kaya raya. Cerita Mei 13 ini cukup menyengat untuk menghalalkan pemimpin gerombolan ketuanan Melayu mencuri.

Pencuri dalam parti United Malays National Organisation berebut harta curian sesama sendiri. Dalam perebutan mencuri duit ini terpelanting keluar Anwar Ibrahim pada 1998.

Anwar melaung menjerit yang dirinya dizalimi. Anwar membawa kembali cerita Ahmad Boestamam, cerita Burhanuddin Helmi dan cerita Abdullah CD. Anwar melaungkan cerita reformasi kerana dia terpelanting keluar daripada gerombolan yang berkuasa.

Dengan terpenjaranya Anwar, mencuri terus berlaku dalam United Malays National Organisation. Malah pencuri semakin berani mencuri secara terbuka. Akhirnya sekali lagi pencuri berebut sesama sendiri. Kali ini Mahathir Mohamad pula terpelanting keluar.

Ketika Mahathir terpelanting keluar muncul cerita baru. Cerita ini ialah cerita 1MDB. Cerita 1MDB dijaja ke hulu ke hilir. Cerita Mei 13 kelihatan mengendur kerana kali ini yang mencuri bukan Cina tapi Melayu.

Cerita PRU14

Maka cerita “menangkap pencuri” disebar ketika berkempen di PRU14 pada 2018. Cerita tangkap pencuri ini sama seperti cerita rakyat Perancis, sama seperti cerita warga Russia yang ingin membelasah tsar dan raja mereka yang selama ini menipu dan mencuri harta rakyat.

Tangkap pencuri menjadi cerita baru yang melekat pada sanubari orang ramai dan bakal pengundi. Cerita ini sama seperti cerita dibawa Boestamam, sama seperti cerita dibawa reformasi Anwar. Cerita duit 1MDB dicuri mendapat sokongan yang ampuh orang ramai.

Akhirnya cerita 1MDB dan tangkap pencuri dibawa Mahathir mengubah landskap politik Malaysia. United Malays National Organisation yang berdekad-dekad berkuasa dikalahkan pada 10 Mei, 2018.

Kekalahan United Malays National Organisation membolehkan lembaga rasuah, kehakiman, polis dan mata-mata bergerak untuk menangkap pencuri.

Selama ini dengan kuasa di tangan para pencuri selamat. Bukan saja tidak ditangkap malah sesiapa yang cuba menimbul cerita curi duit 1MDB akan dikenakan tindakan.

Cerita tangkap pencuri bernama Najib Razak berjaya. Najib didakwa dan dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara kerana mencuri duit 1MDB.

Dalam PRU14 pengundi mendengar cerita duit 1MDB kena curi. Pengundi hendak melihat tertangkapnya pencuri. Keinginan dan keberahian hendak melihat pencuri ditangkap menjadikan pengundi bersedia memberi undi kepada Pakatan Harapan.

Cerita baru PRU15

Justeru apa pula cerita baru yang wajib dibawa untuk PRU15?

Pada hemat saya cerita pencuri ini masih belum tamat. Ia seolah-olah mandul terbantut di tengah jalan. Justeru cerita pencuri duit 1MDB ini wajib diolah kembali. Cerita ini wajib digoreng seperti kisah Nabi Musa melintas Laut Merah.

Seperti cerita Lenin dan Trotsky mahu menghapuskan sistem feudal kaum kerabat Czar Nicholas. Sama seperti cerita rakyat Perancis berahi hendak melihat leher King Louis dan Permaisuri Marie Antoinette dipenggal.

Apa agaknya keberahian pengundi dalam PRU15 ini?

Pada hemat saya cerita pencuri duit 1MDB belum masuk ke babak akhir. Pengundi masih tertunggu-tunggu seperti warga Perancis menunggu untuk melihat kepala Marie Antoinette putus dipenggal.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuka babak terakhir cerita pencuri duit 1MDB ini.

Babak ketiga – babak akhir – ialah apabila rakyat Malaysia mahu melihat Najib masuk penjara. Ini cerita akhir 1MDB. Kepala Louis putus dan Nicholas dibedil mati. Kita pengundi Malaysia lebih sopan. Kita tidak akan memenggal leher Najib. Rakyat Malaysia yang akan mengundi dalam PRU15 hanya mahu melihat Najib masuk penjara.

Kita berjanji kepada bakal pengundi bila Pakatan Harapan menang dalam PRU15 Najib akan masuk penjara. Khalas. 

Dalam PRU13 pengundi mendengar cerita Anwar dizalimi. Dalam PRU14 mendengar cerita Najib mencuri duit 1MDB. Justeru PRU15 pengundi mahu melihat cerita Najib masuk ke dalam penjara – tangkap dan dakwa semua pencuri.

Dalam PRU14 slogan cerita Pakatan ialah: Pakatan menang kecuali ditipu.

Untuk PRU15 slogan cerita Pakatan: Kita menang masukkan pencuri ke penjara. – 22 Mac, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen