Gaji minimum perlu lebih RM1,500, kata Nurul Izzah


Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata gaji minimum RM1,500 kini tidak lagi relevan dari segi konteks. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

KERAJAAN sepatutnya menaikkan jumlah gaji minimum daripada RM1,500 yang diumumkan untuk menjadikannya relevan dengan keadaan semasa, kata Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh-PH) di Parlimen hari ini.

Semasa perbahasan bacaan kedua Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan) Nurul Izzah berkata jumlah gaji minimum baharu RM1,500 yang dicadangkan sebelum wabak Covid-19 dan kini tidak relevan dari segi konteks.

Beliau turut mengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana mengumumkan gaji minimum baharu yang akan berkuat kuasa Mei pada perhimpunan agung partinya hujung minggu lalu.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Anda perdana menteri…bukan sahaja parti anda tetapi seluruh Malaysia,” katanya.

Ismail mengumumkan Malaysia akan melaksanakan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei semasa ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lepas.

“Walaupun kita mengalu-alukannya gaji minimum RM1,500 diumumkan sebelum wabak melanda dan purata gaji bulanan yang diterima pekerja Malaysia menurun sebanyak 9% dari 2020 hingga 2021,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menaikkan gaji minimum pada Februari 2020 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan. Kadar sejam juga meningkat daripada RM5.29 kepada RM5.77.

Beliau berkata walaupun Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) menyediakan semakan semula gaji minimum setiap dua tahun, gaji minimum semasa hanya relevan empat tahun lalu.

“Saya tidak kata kita tidak mengambil kira keperluan majikan cuma secara konteksual anda perlu berlaku adil. Kita mesti ikut keperluan sekarang sebab itu mengapa gaji harus lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu Nurul Izzah turut menyarankan kerajaan melaksanakan undang-undang bertujuan melindungi pekerja gig.

“Ini bagi memastikan dasar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melindungi keselamatan dan kebajikan pekerja dalam ekonomi gig adalah di bawah tanggungjawab majikan dan syarikat serta bukan hanya pekerja semata-mata.

“Sudah ada beban yang tinggi di bawah Perkeso untuk menampung pekerja tidak formal yang terdiri daripada 33% daripada tenaga kerja Malaysia,” katanya. – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen