POLIS menahan enam lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan insiden rusuhan menggunakan senjata tajam di penempatan atas air di Kampung Kurnia Jaya Batu 4 semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kesemuanya yang berumur 20 hingga 70 tahun itu ditahan pagi tadi di beberapa lokasi sekitar Tawau.
Beliau berkata Mahkamah Majistret Tawau kemudian membenarkan lima daripada mereka direman empat hari manakala seorang lagi direman hingga esok.
“Kejadian ini (rusuhan) dipercayai berpunca kerana salah faham antara penduduk kampung berhubung isu pembaikan atau pembinaan jambatan di lokasi kebakaran di Kampung Kurnia Jaya baru-baru ini.
“Rentetan itu, enam lelaki cedera dan dirawat di Hospital Tawau termasuk tiga daripadanya adalah suspek yang ditahan polis pagi tadi. Polis sedang mencari suspek lain yang terlibat selain senjata digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Yusman Syahri Marinsah di talian 013-860 8200 atau Pegawai Penyiasat Insp Farid Idham Mohd Affandi di talian 013-467 1783 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini tular beberapa klip video dan gambar menerusi media sosial memaparkan sekumpulan lelaki memegang senjata tajam termasuk parang dan kayu sedang merusuh di kawasan penempatan atas air. – Bernama, 21 Mac, 2022.
Komen