PENTING untuk kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghormati memorandum persefahaman (MoU) mereka berkenaan perubahan dan kestabilan politik, jika tidak mahu hilang kepercayaan rakyat, kata Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini.
“Gagal memenuhi MoU itu akan menyebabkan kehilangan kepercayaan yang besar terhadap kerajaan, bukan saja dalam kalangan rakyat tetapi juga pemerhati antarabangsa,” kata Presiden TI-M Muhammad Mohan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata beberapa pihak menggesa pilihan raya umum diadakan segera dengan harapan untuk mencapai cita-cita politik mereka.
“Amat penting untuk kita lihat kembali apa yang berlaku selepas pilihan raya umum 2018.
“Negara ini melalui pemerintahan tiga perdana menteri dan empat pilihan raya negeri (PRN); ekonomi merudum lebih dua tahun; rakyat digesa untuk mengeluarkan wang simpanan persaraan lebih daripada sekali.
“Walaupun wujud pelan tindakan negara dan pengumuman komitmen melawan rasuah dan salah guna kuasa, pembaharuan asas sering tergendala dan ditangguh berulang kali dan diabaikan kepimpinan negara.
“Demokrasi lebih luas daripada sekadar pilihan raya dan kempen ugutan,” katanya.
Muhammad berkata Parlimen perlu memegang komitmennya kepada rakyat dan pembaharuan undang-undang seperti dirancang sejak perubahan kepimpinan terakhir dan menandatangani MoU transformasi dan kestabilan politik antara kerajaan persekutuan dan PH.
MoU itu dimulakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan janji pembaharuan seperti mengehadkan jawatan perdana menteri maksimum 10 tahun, memperkenalkan undang-undang anti lompat parti dan pembaharuan Parlimen, tetapi semuanya masih belum dilaksanakan.
Minggu lalu, ia mengumumkan pindaan rang undang-undang had jawatan perdana menteri dan pencegahan lompat parti tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini kerana kerajaan perlu mengumpulkan maklum balas daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Wujud desakan daripada Umno untuk Parlimen dibubarkan secepat mungkin supaya BN tidak hilang momentum kemenangannya.
Mengikut MoU itu, Parlimen akan hanya dibubarkan selepas 31 Julai apabila perjanjian itu tamat tempoh.
Umno juga mendesak perdana menteri untuk tidak melanjutkan MoU itu. – 21 Mac, 2022.
Komen