KERJASAMA politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak mungkin berlaku berikutan pengkhianatan Bersatu, kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata kerjasama dengan PAS juga menjadi masalah dalam PH, khususnya DAP.
“PH mungkin pembangkang yang fleksibel, tetapi gabungan ini tidak dapat lupakan salah laku gabungan PN, khususnya Bersatu.
“Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan PH selepas 22 bulan tetap segar dalam ingatan para pemimpin.
“Persoalannya: bagaimana PH boleh berfikir untuk bersama dengan PN khususnya Bersatu selepas ia jatuhkan kerajaan PH yang dipilih secara sah,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, jika bukan kerana khianat oleh Bersatu yang diketuai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, PH mungkin masih dalam kuasa persekutuan.
“Memandangkan pengkhianatan Bersatu, buat masa ini, tidak ada sedikit pun ruang walau untuk membuat spekulasi kerjasama untuk kalahkan BN.
“Satu lagi faktor yang menghalang kemungkinan kerjasama antara PH dan PN adalah peranan PAS.”
Beliau berkata parti Islam itu tidak boleh bertentang mata dengan DAP.
Ramasamy berkata demikian berikutan perbincangan mengenai konsep khemah besar dalam kalangan pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dalam PRU akan datang.
Ini termasuk kemungkinan kerjasama PH dan PN.
Bersatu merupakan sebahagian daripada PH pada PRU lalu tetapi meninggalkan pakatan pada Februari 2020 melalui Langkah Sheraton bagi membentuk kerajaan persekutuan baharu bersama PAS, Umno, serta parti dari Sarawak dan Sabah.
Bagaimanapun Umno membelakangkan PN dengan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, menggantikannya dengan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lepas.
Sejak itu hubungan PN dan Umno-BN retak di peringkat persekutuan, malah telah menentang antara satu sama lain dalam pilihan raya negeri Sarawak, Melaka dan Johor.
Ramasamy berkata, PH dan PN sama dari segi untuk kalahkan Umno-BN.
“Tolak ketepi perkara ini, dan kita nampak kedua-dua gabungan ini lebih bermusuhan antara satu sama lain.
“Bukanlah satu barisan bersekutu tidak boleh dibentuk untuk menentang BN. Apa sahaja boleh berlaku kerana mereka kata politik adalah seni yang mungkin.
“Sekarang ini dengan PRU yang semakin hampir, saya tidak nampak PN dan PH sedang mendekati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata walaupun ada persamaan untuk menentang Umno-BN, batu penghalang terbesar ialah PAS.
“Begitu juga, DAP sekurang-kurangnya boleh berfikir untuk membentuk pakatan dengan Bersatu, tetapi parti itu tidak bersedia untuk bekerjasama dengan PAS.
“Bagaimana DAP boleh terfikir untuk bekerjasama dengan PAS jika parti itu secara konsisten dan bersungguh-sungguh menyerang parti sebagai punca segala kejahatan di negara ini.” – 21 Mac, 2022.
Komen