Polis siasat video tular konvoi kereta halang trafik


POLIS menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, Johor sehingga menghalang lalu lintas dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow, berkata kejadian itu berlaku pada jam 6.10 petang pada Jumaat.

Susulan daripada itu, satu laporan dibuat di balai trafik Iskandar Puteri pada jam 10.11 malam hari yang sama, kata Tok.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tok berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya. – Bernama, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen