Hanya 153 kes baharu kategori 3-5, kata KP kesihatan


Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 33,347 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,656,415. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2022.

SEBANYAK 153 kes atau 0.68% daripada 22,341 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam (19 Mac) membabitkan kategori 3 hingga 5, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, baki 22,188 kes pula terdiri daripada kategori 1 dan 2, sekali gus menjadikan kes kumulatif Covid-19 dalam negara berjumlah 3,974,019 manakala 33,347 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,656,415.

“Daripada 153 kes kategori 3 hingga 5, 48 kes membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 61 kes menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 negara, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,394 kes Covid-19 pula dimasukkan ke hospital semalam, dengan 554 kes atau 39.7% adalah kategori 3 hingga 5, manakala 840 kes atau 60.3% terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Beliau berkata, sebanyak 390 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 219 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, tujuh negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal (ICU) lebih 50% iaitu Perlis (64%), Kelantan (63%), Johor (59%), Selangor (58%), Sarawak (53%), serta Perak dan Pulau Pinang (51%) sementara Kuala Lumpur dan Putrajaya (67%).

Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara kini adalah 0.92 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi Sarawak dengan 1.06.

Negeri lain yang mencatat Rt melebihi 1.0 adalah Kuala Lumpur (1.03) manakala Negeri Sembilan dan Perak masing-masing merekod 1.01. – Bernama, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen