Amaran keras buat syarikat televisyen tidak jaga sensitiviti agama, rakyat, kata menteri


Annuar Musa berkata, beliau sedia menarik balik kemudahan sekiranya ada stesen televisyen yang tidak menjaga garis panduan tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia memberi amaran keras kepada semua pengendali syarikat televisyen supaya tidak memaparkan sebarang adegan yang menyentuh senstiviti agama dan rakyat di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.

“Di bawah peraturan sekarang, kerajaan memberi kuasa penapisan bagi konten drama di peringkat stesen televisyen, yang mana mereka dikehendaki membuat pengawalan sendiri.

“Sekiranya kita dapati stesen televisyen tidak menjaga garis panduan tertentu, terutama menyentuh hal agama, budaya, adat resam dan sebagainya, saya akan menyemak semula kemudahan itu dan kita akan tarik balik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar Tingkatan 6 dari Parlimen Ketereh sempena program ‘Back To School’ di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video dimuat naik oleh seorang pelakon tempatan di laman Instagram yang memaparkan babak panas dipercayai adegan dalam sebuah drama yang belum disiarkan.

Annuar berkata, kemudahan yang disediakan kerajaan di bawah kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), tidak sewajarnya diabaikan oleh syarikat televisyen sehingga tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita memberikan kemudahan atas kepercayaan, semua stesen televisyen yang bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membuat drama terbabit tetapi perlu wajib mematuhi garis panduan.

“Bagi saya adegan yang tidak Melayu, tidak Islam sifatnya, yang menyinggung perasaan orang Melayu, orang Islam dan sebagainya ini, sebenarnya tidak perlu menunggu pihak kementerian menegur kerana kita perlu faham sendiri batas dalam adegan itu yang tidak bersesuaian,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau meminta pihak drama terbabit supaya memberi penjelasan secara bertulis dan sekiranya ia tidak memuaskan, drama itu tidak dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Susulan penularan video itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menerusi Facebook miliknya turut memaklumkan, akan menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara itu boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

Sementara itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dalam satu kenyataan media semalam turut menjelaskan, adegan yang dipaparkan dalam drama itu tidak sesuai disiarkan malah tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada mereka. – Bernama, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen