Nurul Izzah ingatkan PKR – jangan menang sorak, kampung tergadai


Mohd Farhan Darwis

Bekas naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengingatkan ahli parti supaya memberi fokus kepada pilihan raya umum ke-15, bergerak sebagai ahli keluarga serta elak dari berlakunya insiden pergaduhan pada 2018 yang berlarutan sampai ke kongres parti tahun berikutnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2022.

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengingatkan ahli PKR agar menjaga batas dalam pemilihan parti bulan hadapan terutama mengelak berulangnya insiden pergaduhan.

Pemilihan parti penggal lalu pada hujung 2018 tercemar dengan insiden pergaduhan yang kemudian berlarutan sampai ke kongres parti setahun kemudian.

Pertandingan merebut jawatan dalam parti harus berlangsung atas semangat kekeluargan sesama ahli parti kerana tumpuan utama harus diberikan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata bekas naib presiden PKR.

“Saya pinta dalam peluang adakan pemilihan, dah cukup trauma pemilihan demi pemilihan, insiden yang menjadikan saya rasa kalau bertanding kali ini kita lakukan dalam semangat kekeluargaan.

“Kita kena jiwai apa maksud kita keluarga PKR,” katanya, ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Gombak, hari ini. 

Beliau meminta ahli PKR faham bahawa pemilihan parti kali ini berlangsung sebelum PRU15.

“Takkan kita nak menang sorak kampung tergadai, menang peringkat parti tetapi kalah pilihan raya,” tambahnya.

Nurul Izzah menggesa ahli PKR supaya mematuhi disiplin parti dalam menghadapi pemilihan nanti.

“Dalam hidup kita ada pilihan, kita harus beri maruah kepada pilihan (yang dibuat), bukan soal nak menang jangka masa pendek.

“Mana-mana pergerakan harus ada disiplin organisasi,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Nurul Izzah turut melahirkan kebimbangan akan wujud pihak yang kecewa apabila tewas pemilihan dan menjejaskan peluang PKR dalam PRU15.

“Saya rasa ramai memikirkan kebimbangan yang sama, kira rasakan dalam setiap perlawanan khusus dalam parti tentu ada menang dan kalah dan perasaan bila kalah, kita manusia.

“Lebih-lebih lagi pasca pengkhianatan, banyak sangat perkara harus dirungkai, sudah tentu kita mahu mengutamakan perlawanan pilihan raya umum dan mungkin dapat diambil kira pimpinan dari segi kebijakan keputusan terbaik,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan parti tahun ini. 

Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018, selepas dilantik sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen