Adam Adli bukan baharu dalam politik, kata Akmal Nasir


Mohd Farhan Darwis

Ketua AMK Akmal Nasir berkata walaupun Adam Adli masib baharu dalam PKR, bukan bermaksud tidak boleh bertanding pemilihan PKR kerana perlembagaan parti membenarkan walau tidak cukup setahun jadi ahli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2022.

ADAM Adli boleh bertanding dalam pemilihan PKR bulan hadapan walaupun belum cukup setahun menyertai parti, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir.

Katanya, ada peruntukan dalam perlembagaan parti yang membolehkan ahli bertanding pemilihan parti walaupun belum cukup setahun menjadi ahli.

“Untuk mantapkan organisasi diberi kelonggaran. Adam bukan orang terlalu baru dalam isu politik cuma (baharu) dari segi organisasi,” kata Akmal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat AMK dan Wanita PKR Cabang Gombak, hari ini.

Akmal, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, melihat tiada masalah untuk Adam menawarkan diri bertanding jawatan ketua AMK yang akan kosong.

“Bagi mereka yang nak bertanding perlu jadi anggota sekurang-kurangnya setahun, sebabnya mereka yang ingin pikul tanggungawab itu harus memahami dan menjiwai organisasi.

“Tetapi dalam proses pemilihan ada klausa yang beri ruang untuk mendapatkan pelepasan, kerana bimbang ada keperluan untuk mengisi kekosongan, mungkin cabang baru nak dihidupkan dan itu pernah berlaku di Sabah dan Sarawak,” kata Akmal.

Adam Adli boleh bertanding dalam pemilihan PKR bulan depan walaupun belum cukup setahun menyertai parti, kata Ketua AMK Akmal Nasir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2022.

Bagi pemilihan kali ini Akmal tidak mempertahankan jawatan ketua AMK.

Dua bekas aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol, yang juga Ketua AMK Pulau Pinang dan Adam dijangka bakal bertembung merebut jawatan itu.

Fahmi menyertai PKR pada 2015.

Akmal bagaimanapun tidak menyatakan jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan PKR itu nanti.

Dalam ucapannya, Akmal menyeru agar pemilihan parti, yang akan bermula dengan penamaan calon pada 8 April, tidak memecahbelahkan ahli PKR.

PKR katanya harus menunjukkan kepada rakyat parti itu layak untuk dipilih sekali lagi dalam pilihan raya umum.

“Dalam keadaan PKR berada di persimpangan, PKR akan masuk pemilihan bulan depan, itu kena akui saya rasa lega sebab tanggungjawab saya di AMK boleh diserahkan kepada adik-adik.

“Ketakutan saya kalau pemilihan itu sebabkan kita hilang kepercayaan di mata rakyat, kalau bergaduh dalaman, tergadai kekuatan kita kepada rakyat,” kata Akmal. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen