Kit Siang bersara politik


Chan Kok Leong

Selepas hampir 60 tahun giat dalam arena politik tanah air, hari ini veteran DAP Lim Kit Siang (tengah) umum bersara, berjanji tidak akan bertanding mana-mana pilihan raya lagi serta tarik diri daripada pemilihan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2022.

PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mengumumkan bersara daripada politik, selepas hampir enam dekad terlibat aktif dalam parti dan menjadi wakil rakyat.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik,” katanya, serentak mengumumkan menarik diri daripada pemilihan parti hari ini.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau negeri di masa hadapan,” katanya yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Lim mengumumkan persaraannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Shah Alam, genap sebulan selepas menyambut hari jadinya yang ke-81.

Sepanjang karier politiknya, beliau menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat selama hampir tiga dekad, dengan 24 tahun daripadanya antara 1975 hingga 1999.

Lim, yang bergiat 56 tahun dalam parti, berkata beliau sudah melihat DAP berkembang daripada sebuah “parti pembangkang kecil” pada 1969 sehinggalah jadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan pada 2018.

Katanya, tempoh itu adalah penghormatan baginya apabila dapat bersama rakyat Malaysia yang patriotik berusaha menjayakan “impian Malaysia kita bersama.”

“Usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia mesti diteruskan sehingga berjaya, dan kini sampailah giliran anda semua untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Lim bekas wartawan yang masuk politik pada tahun-tahun gelora selepas Merdeka dan pembentukan Malaysia.

Beliau memulakan tugas dalam parti sebagai setiausaha kerja pada 1966 sebelum jadi setiausaha agung pada 1969.

Lim menang pilihan rayanya yang pertama di kerusi Parlimen Bandar Melaka dalam pilihan raya bersejarah 1969, yang kemudian jadi tragedi berdarah 13 Mei.

Beliau kemudian menang semua pilihan raya umum, kecuali sekali pada 1999.

Selain jadi ahli Parlimen kini lapan penggal, Lim juga pernah jadi wakil rakyat negeri di Melaka dan Pulau Pinang.

Sepanjang jadi ahli politik, Lim dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri: pertama, selepas peristiwa 13 Mei 1969 selama 18 bulan dan kemudian dalam Operasi Lalang pada 1987 selama 17 bulan.

Dalam ucapannya, Lim mengimbau keputusan pilihan raya negeri Johor dan menyifatkannya “peringatan penting” bahawa impian untuk Malaysia yang lebih baik adalah satu perjuangan yang panjang.

“Dalam proses ini, kita menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan. 

“Tapi kita mesti kekal dengan matlamat kita dan jangan sekali-kali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita,” katanya.

Menurut Lim, DAP mewakili harapan rakyat yang mahu melihat Malaysia lebih berjaya dengan kekuatan kepelbagaian rakyatnya.

“Kita mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana sama ada kita dapat memutar semula tren kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada kita semua,” katanya. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen