MEMORANDUM persefahaman (MoU) Pakatan Harapan (PH) dengan Ismail Sabri Yaakob akan ditamatkan jika kerajaan tidak meluluskan rang undang-undang (RUU) antilompat parti, kata Lim Guan Eng.
“Terdapat beberapa kekeliruan mengenai status perkara ini sekarang, di mana Aturan Urusan Parlimen terkini mendedahkan pembentangan Bacaan Pertama Pindaan Perlembagaan Rang Undang-Undang esok di Parlimen.
“Sekiranya RUU antilompat parti tidak diluluskan seperti yang dijanjikan dalam MoU yang ditandatangani oleh perdana menteri, maka MoU itu terbatal dan ditamatkan,” kata setiausaha agung DAP itu semasa ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Shah Alam hari ini.
Lim berkata PH mendesak kerajaan menggubal RUU tersebut bagi menghentikan pembelotan yang mencemarkan keseluruhan proses demokrasi.
Tidak lama selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri, Ismail Sabri telah menandatangani MoU dengan PH bagi mendapatkan gencatan politik.
Sebagai pertukaran untuk sokongan politik, Ismail Sabri telah menjanjikan beberapa pembaharuan penting termasuk menggubal RUU antilompat parti.
Walaupun kerajaannya menyatakan ia komited untuk meluluskan RUU tersebut, Menteri Parlimen dan Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lalu berkata ia akan ditangguhkan kerana memerlukan penambahbaikan.
Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight draf RUU itu tidak lengkap kerana ia tidak menangani hal berkaitan Parlimen tergantung atau kes di mana parti politik keluar daripada gabungan selepas pilihan raya.
Pada Februari 2020, Bersatu yang menang pilihan raya umum (PRU) 2018 atas tiket gabungan PH keluar daripada gabungan dan menyebabkan kerajaan di Putrajaya dan empat negeri kemudiannya beralih tangan.
Sejak PRU14 juga Bersatu menerima 15 ahli Parlimen bekas Umno dan 10 ahli Parlimen bekas PKR.
Penggubalan RUU antilompat dan had tempoh jawatan perdana menteri adalah antara pembaharuan politik dan institusi hasil persefahaman transformasi dan kestabilan politik antara PH dan pentadbiran Ismail Sabri.
MoU dimeterai pada 13 September, 2021 dan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen. – 20 Mac, 2022.
Komen