DAP tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) selepas beberapa pemimpin parti itu bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng.
Bersatu keluar daripada gabungan PH pada hujung Februari 2020 dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya bersama parti lain atas nama PN.
PH juga jatuh selepas sekumpulan ahli Parlimen PKR keluar parti untuk membentuk kerajaan baharu yang diterajui Muhyiddin Yassin.
“Jika kita ditikam daripada belakang sekali, itu salah mereka. Jika kita membenarkan mereka menikam belakang kita untuk kali kedua, ini salah kita sendiri,” kata Guan Eng pada ucapan dasar membuka Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Shah Alam, hari ini.
Tindakan pemimpin yang khianat itu merampas mandat yang diberi kepada PH, tambahnya.
“Pemimpin dan ahli kita berpegang pada prinsip dan kita menang atas prinsip.
“Mandat sah PH ini telah dirompak pada awal 2020 daripada rakyat dengan pengkhianatan ahli Parlimen oportunis yang ditawarkan jawatan dan dana.
“Atas sebab ini, kita tidak akan bekerjasama dengan PN yang mengkhianati kita,” katanya.
Kongres hari ini dihadiri pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR bersama penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Pada sidang media kemudian Lim berkata PH akan bekerjasama dengan parti lain menuju Pilihan Raya Umum ke-15.
“Tetapi itu antara parti pembangkang… Perikatan bukan pembangkang,” katanya, menjelaskan ucapannya.
Menurut Lim, bahaya untuk PH bekerjasama dengan pengkhianat.
“Apa jaminan mereka tidak akan khianat lagi?” tanyanya.
Ditanya sama ada PH akan bekerjasama dengan Pejuang, parti yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad, Lim berkata dua parti itu berbeza.
“Saya tidak mahu komen tetapi kita hendak tengok sama ada kita boleh kerjasama semula,” katanya.
Selepas percaturan politik yang menjatuhkan pentadbirannya, Dr Mahathir yang letak jawatan perdana menteri tersingkir daripada Bersatu dan menubuhkan Pejuang.
Pejuang tidak menyertai PH selepas berbeza pandangan tentang calon perdana menteri. – 20 Mac, 2022.
Komen