DAP bertahan 56 tahun, sedia langkah ke masa depan, kata pengerusi


Khoo Gek San

Tan Kok Wai enggan bertanding semula bagi jawatan pengerusi pada pemilihan parti. DAP dijangka mengadakan pemilihan peringkat CEC hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2022.

BAGI sebuah parti pembangkang, DAP bertahan dan berkembang sepanjang 56 tahun sejak ia didaftarkan secara rasmi, berpegang kepada enam prinsip panduan, kata pengerusinya Tan Kok Wai.

Dalam satu temu bual sempena ulang tahun ke-56 parti itu pada 18 Mac, dan kongres nasionalnya hari ini, Tan berkata DAP berpegang kepada enam prinsip itu yang mampu membuatkan parti itu terus teguh bersatu, berdepan satu demi satu kemelut politik.

Ia adalah ahli yang berkualiti; pengetahuan; melabur dalam golongan belia; kuasa wanita; mobilisasi dan organisasi, kata Tan, yang akan mengundur diri daripada jawatan pengerusi nasional yang dipegangnya selama lapan tahun.

DAP akan mengadakan pemilihan parti bagi peringkat majlis eksekutif pusat (CEC) hari ini.

Tan tidak bertanding semula dan spekulasi mengatakan Lim Guan Eng mungkin pengerusi nasional baharu.

Menjelaskan tentang enam prinsip itu, Tan berkata parti itu perlu mempunyai ahli berkualiti, yang ada pengetahuan dan sealiran dengan zaman, supaya DAP kekal relevan kepada rakyat.

Parti itu percaya dalam memanfaatkan kuasa belia dan memastikan ia mempunyai kumpulan besar ahli yang muda supaya parti sentiasa segar dan untuk kepimpinan masa depan.

Mengiktiraf wanita dan menjadikan mereka pemimpin adalah penting kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyatukan parti.

Mobilisasi dan organisasi adalah kemahiran asas untuk membolehkan DAP respons dan menyesuaikan diri dalam semua keadaan.

Enam prinsip itu memberikan parti kekuatan dan mampu menarik penyertaan ahli baharu, kata Tan.

“Dalam usaha membina masyarakat demokrasi, kita menganjurkan tadbir urus yang baik, mengekalkan budaya baik, mengguna pakai dasar kesederhanaan, pendirian anti rasuah dan menekankan integriti,” kata Tan, 64, yang juga ahli Parlimen Cheras.

Tan pada awalnya pemangku pengerusi ketika penyandnagnya Karpal Singh terkorban dalam satu kemalangan jalan raya pada 2014.

Jawatannya kemudian disahkan pada kongres parti 2017.

Pada 2019, beliau memaklumkan mahu meletak jawatan kerana katanya, tidak patut seseorang memegang jawatan yang sama bagi tempoh yang terlalu lama.

“Daripada pemangku pengerusi hingga ke hari ini, sudah lapan tahun lamanya. Saya sudah berhasrat mengundur diri ketika kongres pada November 2020.

“Tetapi kerana pandemik Covid-19, pemilihan parti terpaksa ditangguhkan dua kali. Itu juga menyebabkan jawatan saya dilanjutkan 10 bulan lagi.”

Tan menyertai DAP pada 1978. Ketika menerima kad keahlian pada tahun berikutnya, Tan berkata beliau sangat berbangga kerana akhirnya dapat memenuhi cita-cita politiknya bersama parti yang dikaguminya dan sudah lama mahu menyertainya sebagai orang muda. – 20 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen