Parlimen tergantung tiada dalam RUU antilompat parti, kata sumber


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Pada masa ini ada empat gabungan utama di Parlimen iaitu PH, PN, BN dan GPS, dengan PH menguasai 90 kerusi, PN 50, BN 41 dan GPS 18, iaitu hampir 90% atau 199 kerusi daripada 22 kerusi di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2022.

RANG undang-undang (RUU) antilompat parti tertangguh kerana ia tidak menangani isu Parlimen tergantung dan parti yang meninggalkan gabungan, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Apa jadi kalau selepas pilihan raya Parlimen atau dewan undangan negeri tergantung?

“Kalau jumlah kerusi sama misalnya 28-28, bolehkah seorang wakil rakyat yang dipilih tukar parti untuk membolehkan kerajaan dibentuk?

“Atau, adalah kita akan buat pilihan raya semula?” tanya seorang ahli Parlimen kerajaan kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, masih ada lompong yang perlu diselesaikan pada draf rang undang-undang itu walaupun pentadbiran  Ismail Sabri Yaakob bersungguh-sungguh mahu memperkenalkan undang-undang itu.

Menurut ahli Parlimen itu, partinya mahu hal ini diselesaikan dulu sebelum mereka menyokongnya.

Antara yang tidak diperuntukkan dalam RUU itu termasuk soal wakil rakyat bebas yang menyertai parti politik selepas pilihan raya dan parti yang meninggalkan gabungan.

“Apa jadi kalau parti keluar gabungan selepas pilihan raya? Semasa pilihan raya, parti ini menang kerana jenama dan lambang gabungan.

“Maknanya, khianat mandat rakyat kalau parti ini tinggalkan gabungan selepas pilihan raya,” tambahnya.

Seorang pemimpin kanan Umno turut mengesahkan pandangan sama iaitu undang-undang lompat parti tidak bergigi sekiranya hal ini tidak diselesaikan sekarang.

Ahli Parlimen yang enggan namanya didedahkan mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pindaan dan pengenalan undang-undang menyekat amalan lompat parti ditangguhkan untuk libat urus tambahan.

Ia juga menangguhkan pengenalan undang-undang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Pada masa ini ada empat gabungan utama di Parlimen iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PH menguasai 90 kerusi sementara PN 50, BN 41 dan GPS 18, iaitu hampir 90% atau 199 kerusi daripada 22 kerusi di Dewan Rakyat.

PH, BN dan GPS dianggotai empat parti sementara PN lima parti.

Sementara itu, sumber ahli Parlimen PH memberitahu RUU itu tersangkut kerana PN.

“Mereka gunakannya untuk tuntut beberapa perkara. Parti ini yang paling tidak mahu undang-undang ini kerana parti ini melibatkan pengkhianat,” katanya.

Pada Februari 2020, Bersatu yang menang pilihan raya umum (PRU) 2018 atas tiket gabungan PH keluar daripada gabungan dan menyebabkan kerajaan di Putrajaya dan empat negeri kemudiannya beralih tangan.

Sejak PRU14 juga Bersatu menerima 15 ahli Parlimen bekas Umno dan 10 ahli Parlimen bekas PKR.

Penggubalan undang-undang antilompat dan had tempoh jawatan perdana menteri adalah antara pembaharuan politik dan institusi hasil persefahaman transformasi dan kestabilan politik antara PH dan pentadbiran Ismail Sabri.

MoU dimeterai pada 13 September, 2021 dan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen. – 20 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen