75 jangkitan, satu kluster baharu Covid-19 di akademi latihan Sarawak


Menurut jawatankuasa bencana negeri, 75 daripada 139 fasilitator membabitkan kakitangan bukan guru dan pelatih disahkan positif virus berkenaan setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

JUMLAH kluster Covid-19 di Sarawak kembali kepada enam apabila jawatankuasa pengurusan bencana negeri melaporkan wabak itu dikesan di pusat latihan kerajaan yang dibuka baru-baru ini di bandar Bau, 37 kilometer dari Kuching.

Menurut jawatankuasa bencana negeri, 75 daripada 139 fasilitator membabitkan kakitangan bukan guru dan pelatih disahkan positif virus berkenaan setakat ini.

Dinamakan sebagai kluster Jalan Taiton, Bau, kes indeks dikesan terhadap salah seorang fasilitator lelaki yang disahkan positif melalui ujian kendiri pada Ahad lalu.

Jawatankuasa bencana berkata jangkitan itu dipercayai bermula daripada masyarakat dan merebak disebabkan percampuran bebas dalam akademi.

Walaupun terdapat kluster baharu di Jalan Taiton, Bau, namun Sarawak hanya melaporkan 1,177 kes baharu hari ini. Terdapat trend penurunan kes dalam tempoh tiga hari lepas.

Jumlah kes yang dilaporkan semalam ialah 1,316, Khamis (1,484) dan Rabu (1,555).

Pada hari Selasa, jumlah kes baharu ialah 1,867.

Majoriti pesakit tidak menyedari mereka dijangkiti kerana mereka tidak mempunyai simptom jangkitan atau hanya mengalami jangkitan ringan (kategori 2).

Semua 75 jangkitan dalam kluster Jalan Taiton menjadikan jumlah kes di daerah Bau meningkat kepada 112.

Ia satu-satunya daerah kecil di luar bandar yang mempunyai bilangan kes baharu tiga digit.

Kebanyakan kes tertumpu di daerah Kuching (414), Bintulu (126) dan Miri (110).

Lapan daerah merekodkan jumlah jangkitan dua digit, 23 satu digit dan lima tidak mempunyai kes langsung. – 19 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen