PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan sebelum Ogos tahun ini bagi menghormati perjanjian dengan pembangkang.
Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri harus menghormati perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama pemimpin Pakatan Harapan.
“Kebijaksanaan perdana menteri dalam buat sebarang keputusan dengan pembangkang dalam MoU, untuk tidak disambung tetapi dihormati antara kedua-dua pihak.
“Kita kena hormat MoU ditandatangani kerajaan dan pembangkang,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Aguny Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, petang tadi.
MoU dimeterai pada 13 September 2021 dan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen. MoU itu juga menetapkan Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 31 Julai ini.
Kenyataannya itu timbul selepas Ismail Sabri meminta agar urusan menetapkan tarikh PRU15 dibincangkan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.
Ismail dalam ucapan terdahulu di perhimpunan tersebut berkata, keputusan mesyuarat berkenaan kemudian akan diangkat kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan seterusnya kepada Kabinet.
Ahli Parlimen Bera itu diasak oleh pimpinan dan perwakilan Umno agar menyegerakan PRU15 ekoran kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).
Dalam PRN Melaka dan Johor, BN berjaya menang dua pertiga kerusi DUN.
Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya berkata Ismail Sabri harus meneliti perjanjian itu kerana persetujuan pembangkang menandatangani MoU akan membunuh Umno. – 19 Mac, 2022.
MENYUSUL
Komen