Selepas kebenaran keluar lagi KWSP, apa pelan kerajaan?


SAYA menyambut baik pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 yang diumumkan oleh kerajaan pada Rabu, 16 Mac 2022 baru-baru ini.

Namun, saya lebih suka sekiranya kerajaan turut menyertakan bersama pelan-pelan pemulihan bagi menstabilkan semula simpanan pencarum untuk masa hadapan.

Amat menyedihkan apabila rakyat terpaksa memecahkan tabung persaraan mereka disebabkan oleh kegagalan kerajaan mentadbir dan merangka dasar yang dapat meringankan beban pasca Covid-19.

Kerajaan juga gagal mengawal harga barangan serta kos sara hidup, di samping tiada kenaikan gaji yang dilaksanakan.

KWSP melibatkan 15.1 juta ahli dengan hanya 7.6 juta ahli aktif. Terdapat sekitar 3.8 juta tenaga buruh yang bekerja dalam sektor informal tanpa memiliki perlindungan sosial seperti KWSP, Perkeso, dan sebagainya.

Persoalannya, bagaimanakah dengan nasib mereka yang tiada KWSP. Apakah pelan kerajaan untuk permasalahan ini?

Menurut rekod, 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Adakah ini bermakna mereka harus terpaksa mengeluarkan keseluruhan simpanan untuk menampung kos sara hidup mereka?

Manakala, purata baki simpanan untuk pencarum KWSP dalam kategori B40 yang merupakan 69% daripada jumlah pencarum hanyalah sekitar RM1,005.

Golongan M40 yang melibatkan 10% daripada jumlah pencarum pula memiliki purata baki simpanan sebanyak RM25,000. Setakat Disember 2021, hanya 27% pencarum yang mencapai tahap simpanan asas.

Ertinya, hanya kelompok ini yang mempunyai simpanan mencukupi serta kebarangkalian untuk tidak bersara dalam kemiskinan.

Pada tahun 2040 kelak, sebanyak 25.4% jangkaan populasi Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas. Sementara pada 2060, berlaku peningkatan pada jangkaan ini iaitu 54.5% yang berumur 60 tahun ke atas.

Justeru, di sini kita melihat perlunya kepada pembaharuan atau penelitian semula terhadap sistem pencen sedia ada.

Kita sangat memahami kehendak rakyat yang mahukan pengeluaran wang KWSP ini dibenarkan demi kelangsungan hidup, namun kerajaan juga harus bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian hidup selepas persaraan. – 19 Mac, 2022.

* Salahuddin Ayub, timbalan presiden Amanah dan ahli Parlimen Pulai.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen