Putrajaya tarik balik pindaan Akta 342, kata PM


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Rang undang-undang pindaan itu termasuk menaikkan kompaun maksimum ke atas individu dan organisasi korporat yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

KERAJAAN tidak akan membentangkan pindaan untuk menaikkan kompaun denda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Ismail Sabri Yaakob.

“Ini selaras dengan hasrat Majlis Tertinggi Umno yang mengatakan denda tidak sepatutnya dinaikkan,” kata perdana menteri semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2021.

Beliau berkata beliau dan bekas perdana menteri Najib Razak turut didenda lima kali semasa pilihan raya Johor minggu lepas.

Rang undang-undang pindaan itu termasuk menaikkan kompaun maksimum ke atas individu dan organisasi korporat yang melanggar undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Disember lalu.

Pindaan itu mencadangkan nilai kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1 juta bagi badan korporat, manakala bagi kesalahan individu, denda sehingga RM10,000 boleh dikenakan berbanding maksimum RM1,000 sekarang.

Rang undang-undang itu bagaimanapun ditangguhkan untuk rundingan selanjutnya selepas Pakatan Harapan berkata ia tidak akan menyokong pindaan itu.

“Saya ingin mengesahkan bahawa rang undang-undang pindaan Akta 342 ini tidak akan dibentangkan. Akta itu akan kekal dengan denda RM1,000.

“Kami membincangkan perkara ini dalam majlis tertinggi Umno dan tidak bersetuju dengan kenaikan denda. Oleh itu, kami tidak akan membentangkan rang undang-undang itu,” kata Ismail Sabri. – 19 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen