PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan berbincang dengan pucuk pimpinan partinya dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib presiden Umno itu berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan sama dengan anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) dan Jemaah Menteri bagi tujuan sama.
“Saya mendengar dengan tekun, memahami kehendak tuan puan sekalian. Kalau dipersetujui beri (masa) saya bersama presiden, timbalan presiden, naib presiden, atau top five bincangkan perkara ini.
“Selepas top five bincang, kita bawa ke dalam MKT untuk bincang bersama-sama. Insha Allah kita semua di atas ini tak kira siapa pun mahu BN menjadi parti dominan semula di negara kita.
“Jika kita yakin dengan kemenangan kita, kita takkan tunggu sesaat pun bubarkan Parlimen untuk adakan PRU15,” kata Ismail Sabri ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Beliau berkata demikian bagi menyahut tuntutan disuarakan para pemimpin sewaktu perhimpunan berkenaan yang mahu PRU15 diadakan secepat mungkin.
Tuntutan itu semakin kuat ekoran kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN).
Umno bersama MCA dan MIC dalam gabungan tersebut berjaya memenangi majoriti dua per tiga kerusi DUN Melaka dan Johor baru-baru ini.
Ketika menenangkan perhimpunan agung hari ini, Ismail berkata beliau juga mahu BN memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Kita semua mahu BN kembali dominan di negara ini. Jika kita bersatu, kita akan menang PRU15,” katanya lagi. – 19 Mac, 2022.
Komen