GAJI minimum RM1,500 akan dikuatkuasakan bermula 1 Mei ini di seluruh negara, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Pelaksanaannya bagaimanapun hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas, katanya.
Beliau membuat pengumuman itu semasa berucap selaku naib presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
“Hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya.
Jelas perdana menteri, kerajaan membuat keputusan itu selepas meneliti kajian impak pelaksanaannya termasuk kesan gaji minimum kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Kelmarin, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu Dewan Rakyat gaji minimum RM1,500 mungkin dilaksanakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.
Katanya, perkara itu mendapat sokongan penuh Jemaah Menteri yang berbincang mengenainya tiga minggu berturut-turut.
“Perdana Menteri serta Jemaah Menteri bersetuju untuk kita menaikkan gaji minimum dengan kadar yang segera. Mungkin dalam masa sebulan atau dua bulan,” kata Saravanan.
Gaji minimum kali terakhir dinaikkan pada 1 Februari 2020 iaitu sebanyak RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200, yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.
Cadangan pelaksanaan gaji minimum sebelum ini dibantah antaranya oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai.
Ia juga bukan penyelesaian masalah kenaikan harga barang yang membebankan pekerja, kata badan itu.
Gaji minimum RM1,500 adalah juga janji Pakatan Harapan yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Pentadbiran itu bagaimanapun hanya bertahan sehingga Februari 2020, jatuh berikutan percaturan politik Langkah Sheraton. – 19 Mac, 2022.
Komen