Berapa lama nak tangguh bentang RUU anti lompat parti, soal pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Pemimpin Umno menggesa kerajaan memberikan komitmen menggubal akta anti lompat parti sebelum PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

PEMIMPIN Umno menuntut kerajaan tidak bertangguh lagi sebaliknya harus segera membentangkan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti.

Mereka merasakan undang-undang itu harus digubal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung untuk mengelakkan insiden wakil rakyat lompat parti kembali berleluasa. 

Ketua Bahagian Umno Muar Razali Ibrahim juga menuntut kerajaan menyatakan tempoh masa penangguhan undang-undang tersebut. 

“Kerajaan harus menjelaskan alasan penangguhan (pembentangan RUU anti lompat parti)...perlu nyatakan berapa lama ia akan ditangguhkan.

“Paling tidak pun kerajaan perlu menyatakan komitmen mereka akan membentangkan undang-undang itu sebelum pilihan raya umum akan datang,” kata Razali, kepada The Malaysian Insight.

RUU itu dijadualkan dibentang dalam sesi persidangan Dewan Rakyat bulan ini, namun ianya ditangguhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun hanya akan dibentang di Dewan Rakyat sebaik sahaja proses libat urus pihak berkepentingan selesai dilaksanakan.

Selepas kejayaan berganda di Melaka dan Johor, Umno yang menerajui Barisan Nasional kini penuh semangat untuk kembali ke Putrajaya sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

Wan Junaidi juga dilapor berkata, pembentangan RUU itu akan dibuat pada sidang khas Parlimen ekoran mesyuarat Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada Khamis depan.

“RUU itu harus diluluskan, digazet, dan dikuatkuasakan sebelum pilihan raya umum kerana kita tidak mahu melihat wakil rakyat melompat parti untuk menjatuhkan kerajaan selepas itu.

“Untuk itu, ia harus dilakukan sebelum PRU15 dan masa sangat suntuk sekarang,” kata Razali, yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan.

Beliau ditemui ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Ahmad Puad Zarkashi juga membuat gesaan sama dan kesal akan penangguhan tersebut.

Adun Rengit itu berkata, isu wakil rakyat melompat parti adalah isu besar yang membabitkan amanah rakyat.

“Tak sewajarnya akta itu ditangguhkan sebab itu adalah isu yang besar isu yang membabitkan soal amanah.

“Pada saya ia sepatutnya disegerakan kerana gejala lompat parti atau katak politik menjadikan politik negara kita tidak bermaruah dan memgabaikan amanah rakyat yang memilih dan menjadikam politik negara tak stabil sebab ia membenarkan rasuah politik berleluasa seperti pemberian jawatan atau wang ringgit, maksudnya ‘scheme of things’,” kata Puad.

Akta anti lompat parti dan pendanaan politik adalah antara fokus perundangan Umno menjelang PRU15.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, Umno juga akan memastikan akta pendanaan politik harus digubal bagi mengelakkan pemimpin politik menjadi mangsa berkaitan dana politik.

“Saya yakin PAU ini Umno kekal pendirian meneruskan akta itu diperjuangkan sebab Umno komited perjuangkan reformasi institusi.

“Bahkan pada saya bukan setakat akta lompat parti disegerakan tetapi akta pendanaan politik, ia harus dilaksanakan sebab berlaku dwi standard kalau akta ini tidak dilaksanakan. 

“Ramai yang akan jadi mangsa, seperti Umno sekarang menjadi mangsa isu dana politik, tindakan diambil sesuka hati kerajan sebelum ini, iaitu PH, sudah tentu mereka akan halang akta ini kerana mereka tak mahu mendedahkan siapa penyumbang dana mereka, terutamanya DAP,” kata Puad. 

Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum RUU itu boleh dikuatkuasakan.

RUU anti lompat parti adalah antara komitmen Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pembangkang.

Perjanjian antara Ismail Sabri dan blok pembangkang tahun lalu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – 19 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen