DAP mungkir janji, bunuh CAT, kata BN Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Pembangkang Pulau Pinang menyifatkan CAT kerajaan DAP sudah mati kerana gagal memenuhi janji mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 25 Mei, 2017.

SERANGAN terakhir pada hari terakhir perhimpunan dewan undangan negeri untuk penggal ini dilakukan pembangkang Barisan Nasional (BN) yang mengisytiharkan CAT kerajaan Pulau Pinang sudah mati dan kini terpulang kepada rakyat untuk menyelamatkan negeri itu.

CAT ialah akronim kepada kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan yang dicetuskan pentadbiran Pulau Pinang.

Ketua Pembangkang Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) berkata BN sudah membuktikan yang CAT sudah ‘mati’ dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kami sudah membuktikan yang banyak janji dibuat kerajaan PH tidak dipenuhi sejak sembilan tahun lepas.

“Janji manis dalam manifesto Pakatan Rakyat juga tidak dipenuhi,” katanya dalam sidang media di pejabat pemimpin pembangkang dalam bangunan dewan undangan negeri.

Awal minggu ini, wakil rakyat BN mengecam kegagalan kerajaan negeri untuk memenuhi 51 janji, termasuk projek kerajaan negeri perlu diumumkan kepada media.

Projek itu termasuklah pembangunan Aerobus yang menghubungkan tanah besar dengan pulau, yang diumumkan pada 2008, dan perkhidmatan tram dalam bandar serta taman harimau yang dicadangkan pada tahun yang sama.

Pada 2009, kerajaan negeri mengumumkan yang Pulau Jerejak akan digazetkan sebagai hutan simpan kekal.

Perwakilan BN juga menyoalkan tentang kemajuan projek kompleks arked dan makanan laut di Batu Kawan yang menelan belanja RM6 juta. Bangunan itu kini terbiar, kata Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong).

51 janji yang tidak dipenuhi masih belum dibincangkan dalam dewan undangan negeri.

Jahara juga mengecam kerajaan negeri kerana tidak menunaikan janjinya menentang korupsi- isu yang seringkali dibangkitkan dan dibincangkan panjang lebar dalam perhimpunan dewan undangan negeri oleh perwakilan PH.

“Kini pentadbiran sudah dicemari kerana ketua menteri didakwa atas tuduhan korupsi,” katanya.

Dia merujuk kepada kes korupsi Lim Guan Eng berkaitan dengan pembelian banglo di Jalan Pinhorn dengan harga diskaun.

Farid berkata yang kerajaan negeri membuktikan kekurangan integriti kerana tidak menyarankan Lim supaya bercuti daripada jawatan sementara kes itu dibicarakan.

Jahara juga menuduh kerajaan negeri menjual tanah milik negeri kepada syarikat swasta, sedangkan cabang pelaburan negeri, Penang Development Corporation sepatutnya ditugaskan membangunkan tanah untuk manfaat rakyat.

“Kerajaan negeri nampaknya memberikan keutamaan kepada sektor swasta dalam projek mega, berbanding mengutamakan rakyat,” katanya.

Jahara, perwakilan yang sudah berkhidmat lima tahun dan dalam penggal terakhirnya sebelum bersara, juga mengkritik barisan exco yang sering gagal menghadirikan diri dalam persidangan DUN.

“Ini menunjukkan yang mereka tidak serius dalam persidangan. Ia tak jadi keutamaan mereka.

“Mereka sepatutnya menjadualkan mesyuarat mereka ke masa yang lain ketika dewan sedang bersidang,” katanya.

Jahara juga mengkritik pentadbiran negeri, menuduhnya mengamalkan sikap pilih kasih apabila bertindak ke atas perniagaan tanpa lesen.

Katanya, ketika peniaga kecil berdepan penguatkuasaan undang-undang, restoran haram di Pantai Bersih, Butterworth terus beroperasi walaupun notis pembersihan tanah sudah dikeluarkan.

“Kerana inilah kami kata CAT kerajaan negeri gagal,” kata ketua pembangkang wanita pertama Pulau Pinang itu.

Farid berkata rakyat Pulau Pinang perlu melakukan perkara yang betul dalam Pilihan raya Umum Ke 14 akan datang untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari DAP.

“CAT sudah mati. Tidak ada ketelusan dan kredibiliti. Selamatkan Pulau Pinang,” katanya. – 25 Mei 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen