KUMPULAN teknologi hartanah Asia Tenggara, PropertyGuru Group Ltd memulakan dagangan sulungnya di New York Stock Exchange (NYSE) di bawah ticker “PGRU” pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya Hari V Krishnan berkata kejayaan penyenaraian di NYSE itu akan membolehkan mereka menawarkan peluang kepada berjuta-juta penduduk di Asia Tenggara yang ingin mencari pelaburan rumah atau hartanah yang baik.
“Kami mempunyai peluang yang amat besar di hadapan kami kerana lebih ramai penduduk yang mewah dan berkebolehan digital memasuki pasaran hartanah.
“Sebagai syarikat senaraian awam, kami juga akan dapat membolehkan pelabur global mengakses pasaran pertumbuhan tinggi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PropertyGuru menerima hasil kasar AS$254 juta yang dikumpul daripada penyenaraian awam menerusi penyempurnaan gabungan perniagaan dengan Bridgetown 2 Holdings Ltd dengan akses lebih besar kepada pasaran kewangan global bagi membantu menyokong pertumbuhan berterusan. – Bernama, 19 Mac, 2022.
Komen