1.4 juta atau 6.9% daripada jumlah keseluruhan pengundi Malaysia berusia antara 18 hingga 21 tahun, kata Jabatan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jumlah keseluruhan pengundi dalam kumpulan umur itu adalah 1,441,794 orang dalam daftar pemilih 2021.
“Baki 19,584,316 orang atau 93.1% ialah pemilih berumur 21 tahun ke atas,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (Kepong-PH) yang bertanyakan jumlah sebenar pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.
Pengundi muda ini dimasukkan ke Daftar Pemilih Induk Tahun 2021 susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi yang berakhir tahun lepas.
Jumlah pengundi baharu yang dimasukkan dalam daftar pemilih setakat Januari 2022 adalah 5.8 juta orang.
Dua negeri dengan jumlah pengundi teramai berusia 18 hingga 21 tahun adalah Selangor dengan 280,495 orang daripada 3.63 juta pengundi dan Johor yang merekodkan 176,618 orang daripada 2.59 juta pengundi.
Ini diikuti oleh Sarawak (133,015 daripada 1.92 juta pengundi), Sabah (131,458 daripada 1.66 juta pengundi) dan Perak dengan 116,923 orang daripada 2.03 juta pengundi.
Di negeri pantai timur, Kelantan mempunyai 103,192 pengundi berusia 18 hingga 21 tahun, Terengganu (67,374 orang) dan Pahang (76,993 orang).
Di utara pula Perlis (12,465), Kedah (111,173) dan Pulau Pinang (70,935).
Negeri Sembilan mempunyai 53,973 orang pengundi 18-21 tahun, Melaka (43,049) dan Kuala Lumpur (57,375).
Dua wilayah persekutuan lagi iaitu Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai 3,460 dan 3,296 orang pengundi Undi18. – 19 Mac, 2022.
Komen